Ketua jurulatih skuad kebangsaan China, Branko Ivankovic mendedahkan cara ketika pasukannya menewaskan Indonesia dalam aksi kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 baru-baru ini.
China menghadiahkan kekalahan pertama Indonesia dalam kempen kelayakan kali ini dimana mereka memenangi perlawanan dengan keputusan 2-1.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: China Hadiahkan Kekalahan Pertama Buat Indonesia
- Media Indonesia Kata Malaysia Untung Ada ‘Harta Karun’ Bernilai RM2.94 trilion
- Indonesia Tambah Seorang Lagi Pemain Kacukan Belanda
Ketika sidang media selepas perlawanan, Branko mendedahkan cara yang digunakan oleh pasukannya untuk menewaskan skuad Garuda sekaligus meraih kemenangan pertama dalam kempen kelayakan kali ini.
“Kami menyerap serangan lawan dengan sangat baik di sektor pertahanan dan tidak memberikan lawan banyak peluang untuk melakukan serangan pantas.
“Kami membuat percaturan yang tepat dan pemain menunjukkan mereka mampu untuk menyesuaikan diri dan menampilkan prestasi terbaik.
“Kami dibolosi disebabkan kesilapan kami dalam mengeluarkan bola. Tidak diragukan, Indonesia merupakan pasukan kuat dengan ramai pemain naturalisasi dari Eropah.
“Perlawanan ini sangat sukar. Tahniah kepada pemain atas kemenangan sukar ini,” katanya dipetik dari laporan CNN Indonesia.
Kemenangan ke atas Indonesia menamatkan rentetan tiga kekalahan dialami skuad kendalian Branko Ivankovic itu dimana sebelum ini mereka dikecewakan oleh Jepun (0-7), Arab Saudi (1-2) dan Australia (1-3).
Kesilapan Ivar Jenner dan Shayne Pattynama dalam kawasan penalti yang menyangka bola akan keluar telah dirampas oleh Shenglong untuk melakukan ‘cutback’ kepada Baihelamu Abuduwaili.
Baihelamu yang tidak dikawal pertahanan lawan dengan tenang menolak masuk bola untuk meletakkan China dihadapan pada minit ke-21.
Kem China sekali lagi melonjak kegembiraan pada minit ke-44 selepas lorongan cantik Gao Zhunyi terus kepada Zhang Yuning yang tidak mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Indonesia kemudiannya menggandakan asakan untuk merapatkan defisit jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil ketika permainan memasuki minit ke-86.
Berpunca daripada lontaran ke dalam yang begitu jauh dilakukan pemain gantian, Pratama Arhan tidak berjaya dikeluarkan dengan baik pertahanan China telah memberikan ruang kepada Thom Haye untuk menewaskan Dalei.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan anak buah Shin Tae-yong bagi mendapatkan gol penyamaan tetapi China kental bertahan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.