Nama Haqiem Stopa mula dikenali seluruh platform media sosial apabila tular seorang YB Senator menggelarkan dirinya sebagai ‘Ikon Permotoran Tanah Air’ dan sebuah penganjur menjemputnya datang ke beberapa sekolah bagi menjayakan acara ‘Jelajah Anti Buli’.
Terbaharu, pemuda berusia 22 tahun itu sekali lagi menjadi bualan netizen apabila sekeping gambarnya bersama seorang polis dan satu keping saman tertera butiran kesalahannya tular di media sosial.
Dalam kertas saman yang dikeluarkan pada 17/7/2022, pukul 11.39 malam, ‘ikon’ itu didapati bersalah kerana memandu tanpa lesen memandu yang sah di sekitar Jalan Raja Laut.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan polis mengeluarkan notis saman terhadap individu berkenaan yang ketika itu memandu kereta jenis Audi.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati lelaki terbabit tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
“Justeru, polis mengambil tindakan dengan mengeluarkan satu saman atas dua kesalahan berkenaan,” katanya.
Gambar-gambar yang tular itu membuatkan ramai pertikai bagaimana seorang YB Senator boleh memberikan gelaran ‘Ikon Permotoran Tanah Air’ kepada seorang pemuda yang tidak pernah mengharumkan nama negara ke pentas antarabangsa.
Pada masa sama netizen mempersoalkan bagaimana sebuah penganjur boleh membawanya ke sekolah untuk memberikan motivasi kepada para pelajar sekolah sedangkan pemuda itu ‘masih terlalu muda’ untuk bercakap soal kehidupan , walhal dialah sering mengundang kekecohan di internet sehingga mengajak orang lain ‘berentap’ di jalan raya.
Orang ramai juga berharap agar kerajaan Malaysia dapat memilih seseorang individu yang betu-betul layak dan sesuai untuk diangkat menjadi apa jua ikon pada masa akan datang, supaya ia dapat menjadi tauladan dan ikutan baik buat generasi muda masa hadapan.
Baca lagi artikel-artikel berkaitan ‘ikon permotoran tanah air’ yang pernah dikongsikan sebelum ini melalui pautan di bawah.
Netizen Pertikai YB Senator Gelar Influencer TikTok Ini Sebagai ‘Ikon Permotoran Anak Muda’
‘Jumpa Di Highway’ – Ikon Permotoran Anak Muda Balas Respon Netizen Selepas Dilabel Rempit TikTok
‘Ini Inisiatif Jelajah Anti Buli’ – Penganjur Respon Dakwaan Bawa Individu Tidak Sesuai Ke Sekolah