Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan peringatan kepada orang ramai untuk mengelakkan daripada bermain mercun.

Tujuannya adalah untuk mengurangkan risiko berlakunya insiden yang tidak diingini yang boleh membahayakan keselamatan individu dan masyarakat secara keseluruhannya.

Baca Juga:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengeluarkan amaran tegas kepada orang ramai mengenai bahaya bermain mercun, lapor Berita Harian.

Beliau menekankan bahawa aktiviti ini bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan serius, tetapi juga berisiko tinggi mencetuskan kebakaran dan mengganggu ketenteraman awam.

“Malah, kami ingin mengingatkan bahawa bermain mercun tanpa kebenaran adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara atau denda berat,” katanya kepada Berita Harian, hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa kes yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Kejadian di Kedah telah menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun mengalami kecederaan pada tangan dan muka selepas mercun bola yang dinyalakannya meletup sebelum sempat dibaling.

Sementara di Kelantan pula seorang remaja lelaki berusia 13 tahun putus tiga jari selepas mercun buatan sendiri yang digunakan meletup secara tiba-tiba.

“Kami bimbang kejadian seperti ini akan terus berulang, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

“Orang ramai, khususnya ibu bapa, perlu memantau aktiviti anak-anak dan menasihati mereka supaya tidak bermain mercun,” katanya.

Sumber