MR DIY Group (M) Bhd kini berdepan tekanan perniagaan berikutan kecenderungan pengguna yang semakin sensitif terhadap harga beralih ke platform e-dagang seperti Shopee dan TikTok Shop.

Platform digital berkenaan menawarkan produk serupa pada kadar harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran fizikal, petik Berita Harian.

Penganalisis AmInvestment Bank, Heng Yii Paul, memaklumkan bahawa jualan TikTok Shop di Malaysia melonjak kira-kira 130 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau menjelaskan menerusi nota penyelidikan bahawa lanskap persaingan pasaran turut digugat oleh kemasukan agresif pemain e-dagang dari China seperti PDD dan Taobao, di samping saingan daripada peruncit berkonsepkan nilai seperti Eco-Shop dan Daiso.

Perkembangan ini mencerminkan cabaran pada prestasi kewangan syarikat.

Bagi suku kedua tahun kewangan 2026 yang berakhir pada 30 Jun 2026, MR DIY mencatatkan penurunan keuntungan bersih kepada RM134.40 juta berbanding RM158.58 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu memaklumkan keuntungan bersih bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 susut kepada RM326.43 juta daripada RM332.73 juta, manakala hasil meningkat kepada RM2.63 bilion daripada RM2.47 bilion.

Sumber