Ketua pasukan Manchester City, Kevin De Bruyne dikatakan semakin hampir untuk meninggalkan kelab yang disertainya sejak musim 2015/16 itu.
Jodoh selama sembilan tahun itu dijangka berakhir selepas beliau dilaporkan bersetuju untuk menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al Ittihad.

Baca Juga:
- David De Gea Tolak Tawaran Mewah Al-Nassr Kerana Sayangkan Isteri
- Al-Ittihad Berminat Dapatkan Khidmat Paolo Maldini
- Nacho Bakal Ke Arab Saudi, Sertai Al Qadsiah
Al Ittihad merupakan salah satu daripada kelab yang berbelanja besar dimana sebelum ini membawa masuk pemain-pemain seperti Karim Benzema, N’Golo Kante dan Fabinho.
Bagaimanapun meskipun dengan kehadiran pemain terkenal, Al Ittihad hanya mampu menamatkan kempen Pro Saudi League 2023/24 dikedudukan kelima.
Sehubungan dengan itu, pengurusan tertinggi kelab merasakan De Bruyne mampu untuk meningkatkan kemampuan pasukan bagi menghadapi musim baharu.
Menurut sumber laporan wartawan Sky Sports iaitu Rudy Galetti, beliau mendedahkan persetujuan secara lisan telah dicapai antara De Bruyne dan Al Ittihad.
Malah wakil Public Investment Fund (PIF) dikatakan sudah berhubung dengan pemain tengah kreatif itu dan kini hanya menunggu kebenaran daripada Manchester City sama ada mahu memberikan lampu hijau atau tidak.
Sepanjang bersama The Cityzens, Kevin De Bruyne telah mengecapi nikmat selaku pemenang EPL sebanyak enam kali, menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA.
Beliau telah membuat 382 penampilan dalam semua pertandingan dan meledakkan 102 gol serta berjaya mencipta 170 bantuan jaringan.
Kontrak pemain berusia 33 tahun itu bersama Manchester City masih berbaki hingga 2025.