Selain kejayaan jualan produk yang hebat, Khairul Aming kini menjadi majikan dambaan ramai kerana layanan dan bonus yang diberikan pada saban tahun.
Memetik laman Gempak, pempengaruh dan usahawan popular Khairul meluahkan rasa syukur apabila ramai yang tertarik untuk menjadi staf perniagaannya.
Walaupun tidak pernah membuka peluang jawatan kosong di mana-mana platform atau media sosial secara terbuka, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32 mendedahkan dia telah menerima pelbagai cara unik daripada orang ramai sewaktu menghantar resume.
“Bukan saya tak buka (tawaran kerja) tetapi resume berbukit, itu pun saya tak pernah umumkan cara nak hantar resume.
“Macam-macam cara sampai, ada yang letak bawah pintu, saya pergi supermarket orang letak resume dalam troli saya.
“Kami terima lebih daripada yang kami boleh tawarkan alhamdulillah,” ujarnya ketika ditemui di majlis Shopee Superstar Awards di
The Agam pada Selasa.
Malah, KA turut memaklumkan buat masa ini tiada keperluan lagi untuk menambah pekerja baharu memandangkan majoriti pekerjanya masih setia dan sudah mencukupi dalam operasi seharian.
“Tapi buat masa sekarang, kita memang tiada keperluan lagi untuk ambil staff baharu sebab kilang dah penuh dan tiada staf yang berhenti.
“Ada pun sorang itu pun sebab dia nak sambung belajar,” ujarnya lagi.
Selain itu, KA juga berkongsi yang dia sedang dalam proses pembangunan produk ketiganya dan bakal dilancarkan pada tahun hadapan.
Apa yang pasti produk ini adalah lain dari yang lain dan bukannya seperti sambal-sambal atau dagint macam sebelum ini.