Setiap tahun, Ramadan datang dengan satu perkara yang pasti: juadah berbuka yang menggoda dari Khairul Aming.

Dari kuih manis hingga air berwarna-warni, meja berbuka puasa rakyat Malaysia jarang sepi dari gula.

Tetapi kali ini, trend minuman manis untuk berbuka mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.

Video oleh pemengaruh makanan terkenal Khairul Aming, yang mempromosikan empat menu air berbuka – Vanila Sarsi, Teh Bunga Zapple, Vitagen Longan, dan Kopi Santan Vietnam – menarik perhatian bukan sahaja pengikut setianya, tetapi juga doktor dan pakar kesihatan yang melihat ini sebagai satu trend yang kurang sihat.

Doktor Bersuara Air Kosong Lebih Baik

Antara yang lantang bersuara ialah Dr Rafidah Abdullah, seorang doktor perubatan yang terkenal dengan advokasi kesihatan awam di Twitter atau kini lebih dikenali iaitu X.

Dalam ciapannya, beliau dengan santai tetapi pedas membalas video Khairul Aming tersebut, “Saya berbuka air kosong. Alhamdulillah hilang juga hausnya, tiada risiko kencing manis.”

Khairul Aming

Ciapan itu mendapat ribuan tanda suka dan disambut dengan reaksi yang pelbagai oleh netizen yang bersetuju mahupun tidak bersetuju dengan beliau.

Ada yang mempertahankan bahawa, “bulan puasa setahun sekali, tak salah nak minum sedap-sedap sikit.”

Malaysia “Juara” Diabetes di Asia Tenggara, Tapi Air Manis Masih Berleluasa

Seakan menyambut perbincangan ini, Azrul Mohd Khalib, seorang aktivis kesihatan, turut membalas dengan fakta mengenai tahap kesihatan di Malaysia.

  1. Malaysia mencatatkan kadar diabetes tertinggi di Asia Tenggara!
  2. 95% daripada kes adalah diabetes jenis 2, yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.
  3. 1 daripada 5 rakyat Malaysia kini menghidap diabetes, meningkat daripada 11.2% pada tahun 2011 kepada 20% hari ini!

Lebih membimbangkan, beliau menekankan bahawa rawatan untuk 7 juta pesakit diabetes di Malaysia tahun ini sahaja akan dibiayai sepenuhnya oleh dana cukai rakyat.

Khairul Aming

Dengan fakta ini, persoalan pun timbul: kenapa budaya minum air manis masih dibiarkan berleluasa?

Minum Air Manis Sekali-Sekala, Salah Ke?

Dalam perbincangan ini, ramai yang setuju bahawa berbuka dengan air manis sekali-sekala bukanlah masalah besar, tetapi tabiat ini boleh menjadi bom jangka jika dibiarkan berterusan.

Kata seorang netizen, “Aku pun suka air manis, tapi kalau tiap-tiap hari berbuka dengan benda ni, memang cari nahas.”

Khairul Aming

Namun, penyokong Khairul Aming mempertahankan bahawa air manis ini hanya satu daripada banyak pilihan berbuka puasa.

Tidak ada paksaan untuk minum, dan akhirnya, individu sendiri yang bertanggungjawab atas kesihatan masing-masing.