Khairunnisa Nazri merupakan nama yang cukup dikenali dalam kalangan peminat bola jaring tanah air bersandarkan kepada ketajaman penyudahnya dalam mendapatkan mata.

Anak kelahiran Sungkai, Perak itu membuktikan kemampuan hebatnya dengan mengumpul 226 gol dalam kempen Netball Super League (NSL) 2025 tempoh hari yang menyaksikan pasukannya, Perak Phoenix menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Baca Juga:

Jumlah jaringan dikumpul itu meletakkannya sebagai pemain keempat terbaik dibelakang Nasangga Shadiah (KL Wildcats), Maisarah Affandi (Putrajaya Dynamites) dan Thisala Tharani dari Pahang Tulips.

Khairunnisa Nazri
Kredit Foto: Netball Super League

Statistik ringkas yang sudah cukup untuk menceritakan tentang kemampuan hebat Khairunnisa dalam menggalas tanggungjawab besar bersama Perak Phoenix.

Namun, semua yang dikecapi Khairunnisa itu tidak datang dengan mudah kerana beliau terpaksa berhempas-pulas untuk pulih daripada kecederaan dialaminya.

Kecederaan tersebut bukanlah ‘biasa-biasa’ kerana Khairunnisa disahkan mengalami ‘Major Meniscus Tear’ pada lutut kirinya sewaktu separuh akhir NSL 2023.

Keadaan yang memaksa beliau dibedah pada Julai 2024 yang nyata menjadi antara episod duka dalam karier Khairunnisa.

Khairunnisa Nazri k
Khairunnisa Nazri ketika menjalani sesi pemulihan di MSN Perak.

Bukan Penamat Buat Karier Khairunnisa Nazri

Beliau yang pernah menyarung jersi skuad bola jaring kebangsaan memulakan proses pemulihan pada penghujung Ogos 2024 hingga Januari 2025 dibawah kendalian penuh fisioterapi serta jurulatih kecergasan dari Majlis Sukan Negeri Perak iaitu Ayu Izzati dan Amir Hafizuddin Ismail sambil dipantau pakar perubatan sukan, Dr Azreen.

Mengulas mengenai detik sukar dalam kariernya itu, Khairunnisa melihat ia bukanlah perkara mudah yang perlu dihadap olehnya dimana memerlukan disiplin tinggi.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa berkomunikasi dan berjumpa dengan fisioterapi untuk memastikan proses pemulihan berjalan dengan betul.”

“Latihan yang dijalankan dengan berperingkat, bermula dengan gerakan asas dan secara beransur-ansur sehingga saya boleh berlatih seperti biasa.”

“Pada detik sukar ini, saya perlu fokus dengan apa sahaja sesi dilakukan dan sentiasa positif walaupun kadangkala tidak banyak perubahan positif dapat disaksikan.”

Berkat disiplin tinggi dan jagaan rapi fisioterapi dan jurulatih kecergasan dari MSN Perak itu, Khairunnisa dengan pantas dapat kembali beraksi untuk memperkuatkan Perak Phoenix pada NSL 2025.

Khairunnisa Nazri
Khairunnisa Nazri bersama rakan sepasukannya. Kredit Foto: AFX Jersey

NSL 2025 Lonjakkan Keyakinan Khairunnisa Nazri

Baharu sahaja pulih daripada kecederaan lutut pastinya membuatkan seseorang atlet itu berada dalam keadaan sedikit trauma untuk beraksi.

Hakikat itu turut dirasai oleh Khairunnisa Nazri yang pada mulanya tidak begitu yakin dengan keupayaan lututnya untuk mengharungi saingan kali ini.

“Perasaan saya pada awalnya memang sangat gementar dan takut. Tetapi, setelah minggu pertama bermain perasaan tu semakin hilang sehingga saya boleh beraksi seperti biasa dalam keadaan terkawal.”

“Semestinya ada kerisauan sebelum beraksi, sebagai seorang atlet kita risau prestasi kita tambahan pula saya bermain di posisi ‘Goal Shooter’ sebab kita yang perlu menjaringkan gol untuk pastikan pasukan meraih kemenangan.”

Faktor Pendorong Mampu Beraksi Cemerlang Di NSL 2025

Menyumbang 226 mata dan membantu Perak Phoenix menamatkan saingan di kedudukan keempat menjadi detik manis kebangkitan Khairunnisa daripada kecederaannya.

Namun, beliau tidak melihat ia sebagai pencapaian peribadi kerana merasakan tidak mampu melakukannya tanpa sokongan orang lain.

“Faktor yang pertama adalah dengan adanya sokongan dari rakan sepasukan and kenalan terdekat yg mengenali saya.”

“Kedua adalah prosess pemulihan, latihan dan semasa perlawanan dijaga dengan baik oleh pihak MSN dan persatuan.”

“Selain itu, kunci bagi kejayaan dalam Pasukan Perak Phoenix adalah kerjasama and komunikasi baik antara rakan sepasukan.”

“Masing-masing dah tahu kekuatan dan kelemahan semua. teammate. Jadi, dari situ kita dpt membina kepercayaan dalam pasukan untuk bermain bersama.”

Susulan aksi baik dipamerkannya dalam saingan NSL, Khairunnisa tidak melihat ia sebagai jaminan buatnya untuk kembali menyarung jersi skuad negara di Sukan SEA 2025 di Thailand nanti.

“Saya rasa peluang untuk dapat tempat ke Sukan SEA masih 50/50 kerana kita tengok dalam NSL memang ramai pemain yang semakin bagus persembahan mereka.

“Tetapi itu tak patahkan semangat saya untuk cuba sehabis baik sekiranya diberikan peluang,” tambah Khairunnisa Nazri lagi.