Pemain pertahanan Selangor, Khuzaimi Piee berasa trauma dan tidak selamat selepas kejadian pecah rumah menimpa dirinya yang menyaksikan beliau kehilangan beberapa barangan berharga.

Khuzaimi menyedari kejadian tersebut ketika beliau baru pulang dari menjalani sesi latihan bersama pasukan dan beberapa barangan peribadi seperti motosikal Yamaha Y15ZR, beberapa bag tangan pelbagai jenama beserta pasport hilang dalam kejadian itu.

Baca Juga:

Bekas pemain Negeri Sembilan itu mengakui beliau trauma untuk pulang ke kediaman kerana bimbang akan keselamatan dirinya dan juga keluarga selepas apa yang berlaku.

“Saya tidak tahu sekiranya saya akan balik rumah atau tidak, saya rasa tidak selamat ketika ini. Sejujurnya, saya tidak dapat tidur dengan lena.

“Saya masih akan berlatih untuk aksi menentang Negeri Sembilan FC pada Ahad ini, tetapi penilaian akan dibuat barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan. Saya risau kerana mereka ada maklumat keluarga saya disebabkan pasport saya juga hilang,” katanya menurut laporan Majoriti.

Insiden yang dialami oleh Khuzaimi Piee merupakan kejadian kedua melibatkan pemain skuad Gergasi Merah selepas penyerang sayap mereka, Faisal Halim mengalami serangan asid awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek membawa kenderaan jenis MPV warna putih ketika memecah masuk rumah pemain itu.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan jenis MPV warna putih dan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R seperti mana diviralkan. Semasa kejadian mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda,” kata beliau dalam kenyataan media.