Pihak polis telah mendedahkan jenis kenderaan yang digunakan oleh suspek ketika kejadian pecah rumah yang dialami oleh pemain pertahanan Selangor, Khuzaimi Piee.
Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 11.30 malam tadi.
Baca Juga:
- TERKINI: Rumah Khuzaimi Piee Dipecah Masuk, Motosikal Dicuri
- Video: Tular Rakaman CCTV Ketika Faisal Halim Disimbah Asid
- Pembedahan ‘Split Skin Grafting’ Faisal Halim Berjalan Lancar
“Siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan kenderaan jenis MPV warna putih dan melarikan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15R seperti mana diviralkan. Semasa kejadian mangsa dan ahli keluarga tiada di rumah,
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda,” kata beliau dalam kenyataan media.
Dalam masa yang sama, pihak polis menegaskan mereka ketika ini sedang berusaha mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera.
Dalam laporan polis yang dibuat, Khuzaimi Piee mendakwa beliau bergerak ke pusat latihan pada pukul 2 petang dan apabila sampai ke rumah pada pukul 9 malam, pintu depan dan belakang rumah telah terbuka.
Setelah memeriksa keadaan rumah, beberapa barangan didapati hilang seperti motosikal jenis Yamaha Y15, beberapa beg silang pelnagai jenama dan juga pasport.
Kejadian tidak diingini terus menghantui pemain Selangor bermula dari kejadian simbah asid yang dialami oleh pemain sayap mereka iaitu Faisal Halim.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon dan beberapa pegawai lain turut mendapat ugutan dari pihak yang tidak dikenali.
Perkara ini membuatkan pihak kelab mengambil langkah drastik apabila mengupah beberapa ‘bodyguard’ (pengawal peribadi) untuk menjaga keselamatan pemain dan pegawai tertentu dalam skuad Gergasi Merah.