Rumah pemain pertahanan Selangor, Khuzaimi Piee dipecah masuk ketika menjalani sesi latihan bersama pasukan dan kejadian itu mengakibatkan beliau kehilangan beberapa barangan berharga.

Perkara ini dikongsikan okeh Khuzaimi sendiri menerusi laman media sosial Instagram miliknya dimana beliau juga sudah membuat laporan polis.

Baca Juga:

Dalam laporan polis yang dibuat, Khuzaimi mendakwa beliau bergerak ke pusat latihan pada pukul 2 petang dan apabila sampai ke rumah pada pukul 9 malam, pintu depan dan belakang rumah telah terbuka.

TERKINI: Rumah Khuzaimi Piee Dipecah Masuk, Motosikal Dicuri
Sumber Gambar: IG Khuzaimi Piee

Setelah memeriksa keadaan rumah, beberapa barangan didapati hilang seperti motosikal jenis Yamaha Y15, beg silang dan juga pasport.

Kejadian tidak diingini terus menghantui pemain Selangor bermula dari kejadian simbah asid yang dialami oleh pemain sayap mereka iaitu Faisal Halim.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon dan beberapa pegawai lain turut mendapat ugutan dari pihak yang tidak dikenali.

Perkara ini membuatkan pihak kelab mengambil langkah drastik apabila mengupah beberapa ‘bodyguard’ (pengawal peribadi) untuk menjaga keselamatan pemain dan pegawai tertentu dalam skuad Gergasi Merah.

Memetik laporan Arena Metro, kawalan keselamatan dipertingkatkan setiap kali pasukan itu terlibat dalam perlawanan Liga Malaysia untuk mengelakkan daripada didekati individu yang tidak dikenali.

“Aksi menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan pertambahan anggota Polis kepada 150 orang manakala 100 marshal mengawal keselamatan perlawanan itu.

“Kawalan kepada pemain juga lebih ketat dan mereka tidak boleh balik sendiri iaitu kena naik bas. Jika dahulu, mereka boleh balik dengan keluarga masing-masing selepas perlawanan namun sekarang ini tidak dibenarkan.

“Pada masa sama, kita juga ada mengupah pengawal peribadi yang akan menjaga individu tertentu dalam pasukan. Perkara sama juga dilakukan terhadap keluarga Faisal,” kata Dr Johan.