Kilang padi bumiputera terbesar di Malaysia, Dibuk Sdn. Bhd., yang telah beroperasi selama 57 tahun, kini menghadapi risiko gulung tikar akibat kerugian berjuta-juta ringgit dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Kilang yang dimiliki oleh Marzukhi Othman, seorang usahawan terkenal di Perlis, telah mengalami kerugian melebihi RM10 juta, memaksa dua daripada tiga kilangnya ditutup dan satu lagi bakal menyusul, lapor Utusan Malaysia.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Tekanan Harga Padi dan Persaingan Tidak Seimbang

Marzukhi, yang juga Pengarah Urusan Dibuk Sdn. Bhd., menjelaskan bahawa kilangnya tidak mampu lagi menanggung tekanan harga belian padi yang melonjak naik, yang pernah mencecah hampir RM2,000 per tan metrik.

Lonjakan harga ini disebabkan oleh persaingan sengit daripada pengilang-pengilang besar bukan bumiputera yang menguasai pasaran beras borong.

Kilang Padi
Sumber: LIM BENG TATT/The Star (Gambar hiasan)

“Pengilang-pengilang besar ini sering mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan menjualnya sebagai beras import dengan harga yang tidak dikawal. Ini membolehkan mereka mengaut keuntungan berlipat ganda dan menggunakan keuntungan tersebut untuk menaikkan harga padi di pasaran,” kata Marzukhi.

Kos Operasi Kilang Padi Tinggi dan Hutang Bank

Selain tekanan harga padi, kos operasi kilang juga semakin meningkat, termasuk kos elektrik, diesel, alat ganti, dan gaji pekerja.

Marzukhi mengakui bahawa kilangnya tidak mampu lagi melunaskan hutang bank akibat kerugian yang berterusan.

Kilang Padi
Sumber: Utusan Malaysia (Gambar hiasan)

“Kami tidak mahu menipu pengguna dengan menjual beras tempatan sebagai beras import. Tetapi dengan kos operasi yang tinggi dan harga beras yang dikawal, kami tidak mampu bersaing,” tambahnya.

Nasib Kilang Padi Bumiputera

Marzukhi, yang juga Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, mendedahkan bahawa daripada 127 kilang bumiputera yang aktif sejak 1998, hanya sembilan yang masih bertahan hari ini.

Beliau menggesa pihak berkuasa untuk mengambil langkah segera dalam menangani dasar kawalan harga beras yang dianggap sudah tidak relevan.

Kilang Padi
Sumber: Utusan Malaysia (Gambar hiasan)

“Dasar kawalan harga beras putih tempatan perlu dikaji semula. Harga siling beras import juga perlu dikawal untuk memastikan persaingan yang adil,” katanya.

Cadangan untuk Menyelamatkan Industri Padi Bumiputera

Marzukhi turut mencadangkan agar pihak berkuasa tidak lagi mengeluarkan lesen untuk pusat belian padi dalam lingkungan 20 kilometer dari kilang.

Beliau mendakwa bahawa pelesen-pelesen ini sering menjadi orang tengah yang ditaja oleh kilang besar untuk membolot bekalan padi, seterusnya menaikkan kos pengeluaran beras.

“Jika tiada langkah drastik diambil, kilang-kilang bumiputera yang tinggal ini hanya menunggu masa untuk gulung tikar,” tegasnya.