Pasaran hartanah Malaysia masih menghadapi tekanan besar akibat banyaknya rumah dalam kuota Bumiputera yang belum terjual, terutama bagi rumah berharga antara RM300,001 hingga RM500,000, lapor Malay Mail.

Menurut Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (Rehda), sebanyak 77 peratus unit siap yang masih tersekat dalam kuota ini berada dalam lingkungan harga tersebut.

Yang lebih membimbangkan, majoriti unit ini telah berada di pasaran lebih dari 36 bulan, menunjukkan ketidakseimbangan yang berterusan antara bekalan dan permintaan.

Statistik Menarik Tentang Rumah Tak Terjual

Presiden Rehda, Datuk Ho Hon Sang, mengakui bahawa isu ini bukan sahaja membebankan pemaju tetapi turut menghalang pertumbuhan sektor perumahan negara secara keseluruhan.

Bumiputera

Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah 2024 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Kebangsaan (Napic), terdapat 23,149 unit kediaman yang belum terjual di seluruh negara dengan anggaran nilai RM13.95 bilion.

Rumah berharga RM300,000 hingga RM500,000 mendominasi senarai ini, menunjukkan bahawa walaupun harga dianggap mampu milik, masih terdapat halangan besar dalam pemasarannya.

Daripada jumlah tersebut, rumah pangsa dan kondominium menyumbang 61.2 peratus unit tak terjual, diikuti oleh rumah teres sebanyak 23.6 peratus.

Kebanyakan unit yang masih tersekat ini berusia antara lima hingga sepuluh tahun, menunjukkan bahawa masalah ini bukan perkara baharu tetapi telah berlarutan.

Bumiputera

Dalam kalangan unit kuota Bumiputera, rumah mewah juga turut terjejas, dengan lapan peratus unit tak laku berharga RM1 juta ke atas. Namun, isu utama tetap berpusat pada rumah sederhana yang sepatutnya menjadi pilihan utama pembeli pertama.

Kenapa Rumah Tak Laku?

Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku?

Beberapa faktor dikenal pasti, termasuk kuasa beli yang masih rendah, lokasi pembangunan yang kurang menarik, dan syarat pembiayaan yang ketat.

Walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif seperti skim rumah pertama dan potongan cukai, nampaknya langkah-langkah ini masih belum cukup untuk menyerap bekalan yang semakin bertimbun.

Rumah Kuota Bumiputera Mampu Milik Harga RM300,000 Ke Atas Tak Laku, Kenapa?

Mampukah pasaran hartanah Malaysia keluar dari kemelut ini?

Jawapannya bergantung pada kerjasama erat antara pemaju, kerajaan, dan institusi kewangan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula polisi kuota Bumiputera, memperbaiki akses pembiayaan, atau menyesuaikan jenis pembangunan dengan keperluan sebenar pasaran.