Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon berharap dua pemain baru yang dipanggil beliau iaitu Natxo Insa dan Romel Morales mampu untuk memberi sumbangan kepada skuad Harimau Malaya yang akan beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari nanti.

Pan-gon berkata demikian ketika sesi latihan pertama skuad kebangsaan menjelang temasya Piala Asia edisi kali ini yang bakal membuka tirai lebih kurang dua minggu dari sekarang.

Baca Juga:

Ketika ditanya mengenai kelibat Natxo dan Romel, jurulatih dari Korea Selatan itu mempunyai harapan besar dengan penglibatan dua pemain itu dalam skuad kali ini.

Natxo Insa Romel Morales
Kim Pan-gon

“Pemain baharu yang dibawa masuk memberi kelebihan terhadap kami terutamanya dari segi pengalaman. Saya harap mereka sedar rakyat Malaysia memberikan sokongan padu dan seterusnya boleh menunjukkan prestasi yang bagus bersama skuad kebangsaan.

“Kami jemput mereka untuk menyertai pasukan kebangsaan dan saya percaya mereka akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Ketika mengumumkan barisan 26 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat pasukan negara, nama Natxo Insa dan Romel Morales mendapat perhatian peminat dimana ada yang mempersoalkan keputusan Pan-gon memanggil dua pemain ini berbanding pemain lain.

Romel baru sahaja mendapat kerakyatan Malaysia sekaligus menjadi pemain naturalisasi negara mengikut jejak langkah pemain lain seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Sergio Aguero.

Manakala bagi Insa pula, kali terakhir beliau beraksi bersama skuad Harimau Malaya ialah pada 2018 dimana ketika itu pasukan negara dibimbing oleh Tan Cheng Hoe.

Dalam masa yang sama, Pan-gon turut menyatakan bahawa beliau tidak dapat memanggil tiga pemain atas faktor kecederaan dan juga hal peribadi.

“Saya gembira dengan pemilihan pemain kali ini walaupun tidak mendapat dua pemain iaitu Shahrul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad kerana kecederaan.

“Kita juga menjemput Feroz Baharudin tetapi dia ada perancangan untuk berkahwin, jadi tahniah diucapkan kepada Feroz tetapi ini adalah skuad terbaik buat masa ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.