Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon meluahkan rasa kecewa dimana ada pemain yang lebih mengutamakan kelab berbanding bersama pasukan negara.

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Pan-gon menegaskan beliau mengakui gagal untuk menanam rasa kecintaan pemain terhadap pasukan negara setiap kali beraksi bersama-sama Harimau Malaya.

Baca Juga:

“Saya tidak berjaya dalam misi menanam semangat patriotisme dalam kalangan pemain-pemain negara, semangat kenegaraan pemain negara terlalu nipis, mereka tidak meletakkan keutamaan kepada skuad kebangsaan di tempat sepatutnya.

“Bagi saya ini adalah sesuatu yang hilang dan saya rasa tidak berjaya capai, kita perlu fikir kepentingan semangat patriotisme berjuang untuk negara.

“Saya tidak mahu bercakap banyak kerana mereka pemain profesional, saya hanya mahukan lebih komitmen dalam patriotik dan itu yang saya tekankan, saya rasa kita perlukan lebih perkara itu,” kata Pan-gon.

Jurulatih dari Korea itu pernah berdepan situasi dimana beliau terpaksa mengharungi perlawanan tanpa pemain yang beliau mahu tetapi mengekalkan sikap profesional dengan menjalankan tugas baik bersama pasukan kebangsaan.

Sebelum ini, Kim Pan-gon mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia kerana telah memberikan sokongan padu semasa beliau mengendalikan pasukan negara.

“Malaysia berpotensi besar, banyak pemain bintang yang akan menyerlah seperti Akhyar Rashid, Arif Aiman dan Safuwan Mazlan. Kumpulan pemain muda ini sangat berpotensi.

“Saya bukan saja rasa disokong malah dicintai di sini, saya hargai penyokong. Saya takkan lupakan apa yang telah kita kecapi di Bukit Jalil. Ultras Malaya, pihak media, kerajaan. Semua perlu konsisten dan saya akan doakan skuad negara.

“Saya menikmati masa saya di sini, terima kasih pada semua kelab, Ultras Malaya dan semua penyokong.” katanya.

Kim Pan-gon dikaitkan dengan kelab Korea, Ulsan HD selepas Hong Myung-bo dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu bagi menggantikan Jurgen Klinsmann.