Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan Gon telah bersetuju untuk terus membimbing skuad Harimau Malaya bagi tempoh dua tahun lagi.

Kontrak bekas jurulatih Hong Kong itu akan berakhir pada Februari atau Mac tahun 2024 namun mempunyai pilihan lanjutan dua tahun lagi.

Baca Juga:

Menurut Hamidin, Kim Pan Gon akan terus mengendalikan Harimau Malaya bagi mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan objektif mereka untuk menjadi 18 pasukan terbaik Asia.

“Ini cabaran (kelayakan) untuk buktikan yang dia ada sesuatu yang istimewa untuk terus memacu skuad kebangsaan. Kontraknya sampai 2025.

“Kita memilih Pan Gon kerana beliau seorang yang memiliki banyak pengetahuan selain seorang yang buat kerja,” kata Hamidin dipetik dalam Berita Harian.

Harimau Malaya
FOTO: FAM

Skuad Harimau Malaya mengalami peningkatan mendadak dari segi kedudukan ranking FIFA sejak dikendalikan oleh Kim Pan Gon.

Berdasarkan rekod, Malaysia hanya tewas sekali dalam 8 aksi persahabatan antarabangsa yang diaturkan sejak bulan Mac 2023.

Selain itu, Kim Pan Gon turut membantu Harimau Malaya layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari depan serta hampir mengejutkan dua pasukan dalam kedudukan ranking 100 dunia iaitu China dan Syria.

Sasaran baharu bakal menanti beliau iaitu merebut slot ke Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi nanti.

Malah, Malaysia juga berpeluang merebut lapan slot Piala Dunia 2026 yang diberikan kepada benua Asia sekaligus menetapkan hala tuju baharu untuk mengubah dimensi, budaya dan mentaliti dalam ekosistem bola sepak di Malaysia.

Skuad negara kini mempunyai tempoh dua bulan untuk membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada Januari tahun depan.