Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mahu pemain tunjukkan mentaliti juara dan tidak kenal erti putus asa dalam saingan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Januari depan.

Tinggal 14 hari lagi menjelang kejohanan itu, skuad Harimau Malaya kini giat menjalani latihan untuk memastikan fizikal dan kecergasan lebih bersedia sebelum berangkat ke Qatar pada 1 Januari 2024.

Baca Juga:

Walaupun Malaysia diundi dalam kumpulan E bersama pasukan gergasi seperti Korea Selatan, Jordan dan Bahrain, namun Kim Pan Gon percaya pasukannya lebih kuat dan tidak akan mudah menyerah kalah.

“Kita akan tunjukkan kepada mereka mentaliti juara, kita tidak pernah menyerah kalah sama sekali, tetapi teguh dan kuat.

“Dalam situasi tekanan, kita harus mengawal keadaan itu dengan baik dan kita belajar perkara itu dari kesilapan sebelum ini untuk mengatasi situasi berkenaan.

“Kita akan tunjukkan kepada rakyat Malaysia yang kita mewakili Malaysia dan itu akan menjadikan kita kuat, saya percaya perkara itu,” katanya dalam Harian Metro. 

dion cools endrick

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.

Kim Pan Gon juga mahu pemain berjuang demi negara kerana ini peluang terbaik untuk tunjukkan kepada dunia mengenai kehebatan Harimau Malaya dalam kejohanan besar seperti Piala Asia.

“Saya fikir kita mewakili Malaysia, jadi kita perlu bekerja keras untuk Malaysia. Demi nama Malaysia, kita berjuang untuk Malaysia. Setiap hari saya akan bercakap tentang semangat patriotik kepada pemain dan pasukan.

“Semangat patriotik sangat penting kerana jika tiada negara, kita tidak akan mendapatkan peluang untuk menyertai apa-apa pertandingan seperti Piala Asia mahupun Piala Dunia. kita bukan hanya pergi berjuang semata-mata untuk pertandingan bola sepak tetapi membawa nama Malaysia serta budaya negara ini untuk ditunjukkan kepada orang luar,” katanya.