Ketiadaan dua pemain iaitu Dion Cools dan Endrick Dos Santos di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan ke Piala Asia 2023 menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat.

Setakat ini, 24 pemain telah pun menyertai sesi latihan termasuk dua pemain yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan iaitu Matthew Davies dan Syamer Kutty.

Baca Juga:

Pengendali pasukan, Kim Pan Gon menjelaskan Cools dan Endrick akan melapor diri dalam masa terdekat kerana mempunyai urusan penting yang perlu diselesaikan.

“Dion Cools akan menyertai pasukan pada minggu pertama atau kedua Januari nanti dan bergantung pada jadual penerbangannya. Endrick Dos Santos pula meminta cuti beberapa hari kerana isterinya baru melahirkan anak,” katanya.

Kedua-dua pemain tersebut merupakan tonggak penting yang diperlukan bagi memperkuatkan bahagian pertahanan dan tengah.

Dion Cools dijangka menyertai skuad Harimau Malaya di Qatar selepas selesai tugasannya bersama Buriram United.

Berdasarkan jadual Liga Thailand, pasukannya akan menentang Prachuap hari ini dan pendahulu liga, Bangkok United pada 6 Januari 2024.

Pan Gon telah mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei, November lalu.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia 2023 bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.

Sebelum itu, Harimau Malaya dijadualkan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Syria pada 8 Januari 2024 di Qatar bagi memastikan para pemain cukup bersedia dari segi fizikal dan kecergasan.