Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menyatakan beliau tidak merasa risau mengenai masa depan bola sepak Malaysia selepas beliau mengundurkan diri sebagai pengendali pasukan.

Jurulatih kelahiran Korea itu percaya beliau sudah membina asas yang kukuh selain membuat satu sistem yang mampu untuk meningkatkan kualiti pasukan negara.

Baca Juga:

“Saya sudah membina sistem yang mana pasukan ini tidak akan terjejas. Kita sudah mempunyai filosofi permainan. Saya sudah membina karakter pemain Malaysia yang positif, agresif dan tidak mudah tunduk kepada pasukan lawan.

“Sebelum ini kita pernah dibolosi awal dalam permainan. Tetapi kita sentiasa bangkit. Seperti contoh ketika menentang Korea. Kita ketinggalan dan kemudiannya berjaya meraih keputusan seri,” katanya.

Kim Pan-gon
Kim Pan-gon

Dalam masa yang sama, Pan-gon menganggap negara ini mempunyai ramai pemain berbakat di peringkat akar umbi yang mampu untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan.

“Malaysia mempunyai banyak potensi yang kita perlu capai. Dari segi akar umbi, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) amat bagus. Kita sentiasa positif dan ketika ini bola sepak Malaysia ada potensi yang besar jadi kita perlu capai pada tahap yang lebih tertinggi,” tambahnya.

Pengganti kepada Pan-gon iaitu Pau Marti Vicente mahu teruskan apa yang dilaksanakan oleh Pan Gon bagi memastikan peningkatan positif skuad Harimau Malaya dapat diteruskan secara konsisten.

“Pertamanya saya sangat menghargai Coach Kim kerana beliau individu yang membawa saya ke Malaysia. Beliau hubungi saya, cuba meyakinkan saya untuk meninggalkan negara dan kelab saya untuk menyertainya mengendalikan skuad kebangsaan Malaysia, hampir tiga tahun yang lalu.

Pau Marti
FOTO: FAM

“Terima kasih kepada Datuk Haji Hamidin kerana memberikan kepercayaan ini. Tugas saya sekarang adalah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan di sepanjang tempoh dua setengah tahun ini.

“Semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa pasukan kita ini ke tahap tertinggi yang boleh dan membangunkan pasukan ini secara bersama.

“Kita sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.

“Jadi, selain perbincangan mengenai perancangan menjelang Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, saya dan Datuk Haji Hamidin turut sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan dibuat dengan lebih baik,” kata Pau Marti.