Selepas Kim Pan-gon meletak jawatannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan penolong beliau iaitu Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.
Pau Marti akan dibantu oleh E.Elavarasan dan staf-staf kejurulatihan yang lain seperti Park Bobae (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- 5 Tanda Status Kewangan Anda Lebih Baik Daripada Kebanyakan Individu Lain
Menurut kenyataan media FAM hari ini, Pau Marti mahu teruskan apa yang dilaksanakan oleh Pan Gon bagi memastikan peningkatan positif skuad Harimau Malaya dapat diteruskan secara konsisten.
“Pertamanya saya sangat menghargai Coach Kim kerana beliau individu yang membawa saya ke Malaysia. Beliau hubungi saya, cuba meyakinkan saya untuk meninggalkan negara dan kelab saya untuk menyertainya mengendalikan skuad kebangsaan Malaysia, hampir tiga tahun yang lalu.
“Memang agak sedih apabila beliau telah meninggalkan pasukan. Beliau individu yang memberikan saya sokongan penuh untuk menggalas tanggungjawab baharu yang perlu saya pikul ini.
“Terima kasih kepada Datuk Haji Hamidin kerana memberikan kepercayaan ini. Tugas saya sekarang adalah untuk meneruskan apa yang kita telah lakukan di sepanjang tempoh dua setengah tahun ini.
“Semua barisan kejurulatihan sedia ada akan terus bersama untuk membawa pasukan kita ini ke tahap tertinggi yang boleh dan membangunkan pasukan ini secara bersama.
“Kita sentiasa bercakap soal konsistensi. Bukan untuk tempoh setahun dua. Tapi kita nak pasukan kita ini tampil dengan prestasi baik secara konsisten untuk tempoh selama mana yang boleh dan jangan sesekali kembali ke belakang.
“Jadi, selain perbincangan mengenai perancangan menjelang Pestabola Merdeka 2024 dan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, saya dan Datuk Haji Hamidin turut sudah mula melakukan perancangan awal bagi memastikan persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan dibuat dengan lebih baik,” kata Pau Marti.
Prestasi beliau akan dinilai oleh FAM melalui dua kejohanan terdekat iaitu Pestabola Merdeka 2024, September depan serta kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 hujung tahun ini.