Selepas Kim Pan-gon meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, penolong beliau iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selepas Pan-gon meletak jawatan pada Selasa.

Sementara itu, jurulatih yang pernah mengemudi skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) iaitu E.Elavarasan pula diangkat menjadi penolong ketua jurulatih.

Pada masa yang sama, Yusoff turut memgesahkan staf-staf kejurulatihan yang lain seperti Park Bobae (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi) kekal bersama skuad kebangsaan untuk membantu Pau Marti.

Pan-gon menegaskan sebab utama beliau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih adalah kerana alasan peribadi.

“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA dan pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Republik Korea, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka.

“Namun malangnya kita tidak layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026. Tapi dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan dan 10 mata, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah,” katanya.

Tugasan pertama Pau Marti bersama skuad kebangsaan ialah menghadapi saingan Pesta Bola Merdeka 2024 yang akan disertai Tajikistan, Lubnan dan Filipina pada September nanti.