Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Vietnam, Kim Sang-sik merasakan bahawa tuan rumah, Indonesia dan bekas juara, Thailand akan menjadi pencabar utama pasukannya dalam usaha mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut saingan Piala ASEAN B-23 2025 yang bakal berlangsung bulan hadapan.

Kim sebelum ini membimbing skuad senior Vietnam menjuarai Kejuaraan ASEAN pada Januari lalu dan beliau kini mengintai kejayaan baharu bersama skuad B-23 pula apabila kejohanan dwitahunan itu akan berlangsung di Indonesia dari 15 hingga 29 Julai nanti.

Baca Juga:

Kejohanan yang turut digelar Piala Mandiri 2025 atas sebab penajaan merupakan pentas buat pemain muda di seluruh ASEAN untuk menyerlahkan potensi mereka.

Kim Kang-sik
Kredit Foto: Vietnam Football Federation (VFF)

Sebagai negara yang memenangi kejuaraan pada dua edisi sebelum ini, Vietnam pastinya mengimpikan kejayaan hatrik.

Selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan B  turut dibarisi Laos dan Kemboja, Vietnam dijangka tiada masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Namun, Kim Sang-sik menjangkakan cabaran sebenar hanya akan bermula di peringkat kalah mati.

“Berdasarkan apa yang saya tahu dan perhatikan, Thailand dan Indonesia sentiasa menjadi pencabar kuat,” ujar pengendali berusia 48 tahun itu.

“Thailand menonjol dengan teknik serta organisasi permainan mereka yang kukuh manakala Indonesia pula mengagumkan dengan kekuatan fizikal dan kepantasan.”

“Perlawanan menentang kedua-dua pasukan ini sentiasa sengit dan kompetitif, jadi kami perlu membuat persediaan rapi.”

Dalam dua edisi terakhir Kejohanan ASEAN B-23, Vietnam pernah bertemu kedua-dua pencabar utamanya itu.

Golden Star Warriors muda itu menewaskan Thailand 1-0 pada final 2021 sebelum mengatasi Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti dua tahun lalu selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit aksi, juga di pentas final.

Kim Sang-sik Mahu Barisan Pemainnya Berhati-Hati

Walaupun Kim mahu pasukannya meneruskan legasi cemerlang dalam kejohanan ini, beliau turut mengambil pendekatan berhati-hati agar tidak meletakkan tekanan berlebihan kepada para pemain muda.

“Memenangi dua kejuaraan ASEAN B-23 secara berturut-turut adalah satu kebanggaan buat kami. Namun, daripada memberi tekanan kepada diri sendiri, kami mahu fokus untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.”

Kim Kang-Sik
Vo Hoang Minh Khoa (jersi 15) antara pemain dalam skuad Vietnam B-23 muncul juara Piala ASEAN B-23 2023. Kredit Foto: NST

“Saya galakkan para pemain melihat kejohanan ini sebagai peluang untuk berkembang dan belajar, bukan sekadar mengejar pencapaian. Pada pendapat saya, keputusan akan datang dengan sendiri hasil daripada proses itu.”

“Kejohanan ini bukan semata-mata mengenai kejuaraan. Ia juga membolehkan kami menilai keupayaan setiap pemain dan mencuba pelbagai kombinasi untuk mempertingkatkan keserasian taktikal.”

“Bagi pemain muda, ini juga peluang berharga untuk meraih pengalaman perlawanan antarabangsa,” tambah Kim Sang-sik lagi.