Pengurus skuad kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsan atau lebih mesra dengan panggilan Madame Pang telah mengucapkan selamat tinggal buat skuad Gajah Perang itu.

Perkembangan terkini mengenai kedudukannya itu disahkan sendiri Madame Pang dalam satu kenyataan di laman Instagram peribadi milik beliau.

Baca Juga:

Madame Pang mula memegang tanggungjawab selaku pengurus skuad kebangsaan Thailand pada penghujung Ogos 2021.

Seperti diketahui sepanjang 890 hari menggalas tanggungjawab tersebut, Madame Pang dilabel sebagai pengurus yang pemurah apabila sering kali menawarkan bonus kepada para pemainnya.

Yang terbaharu seperti dilaporkan sebelum ini, barisan pemain Thailand mendapat mendapat ganjaran mewah yang diberikan berupa bonus bernilai 5 Juta Baht atau sekitar RM600 Ribu kepada pemain selepas berjaya mara ke pusingan 16 kejohanan Piala Asia 2023.

Keputusan yang diambil Madame Pang meninggalkan skuad kebangsaan Thailand itu secara tiba-tiba itu adalah kerana beliau mahu memberikan tumpuan penuh  kepada kempennya untuk jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT).

Madame Pang mengambil keputusan untuk bertanding bagi menggantikan Jeneral Somyot Poompanmoung kerana mahu mencurahkan rasa cintanya terhadap bola sepak Thailand selaras dengan pengalaman luas dimilikinya.

Beliau yang turut melepaskan jawatan sebagai pengerusi kelab Port FC mula terlibat dengan FAT sejak tahun 2008 apabila dilantik sebagai pengurus skuad wanita. Dibawah pengurusannya, skuad wanita Thailand layak ke Piala Dunia 2015 (Kanada) dan 2019 di Perancis.

Melihatkan kepada kemampuannya, FAT telah melantiknya sebagai pengurus skuad lelaki yang berjaya muncul juara Piala AFF Suzuki 2020 (diadakan pada Disember 2021) dan edisi 2022.

Difahamkan menurut soal selidik dalam talian, jutawan berusia 57 tahun itu lebih menjadi pilihan para penyokong berbanding calon lain seperti dua ahli politik iaitu Pauline Ngampring  dan Thanasak Surprarasert serta bekas jurucakap Liga Thailand, Warong Witthaya.

Malah, Pang dilihat memiliki peluang cerah untuk memenangi jawatan tersebut kerana mendapat sokongan padu barisan pemilik kelab ternama Liga Thailand seperti BG Pathum United, Chonburi dan Muangthong United.

Selain itu, beliau turut menjadikan pemilik Buriram United, Newin Chidchob sebagai penasihatnya.