Bekas pemain beregu wanita nombor satu dunia, Sayaka Hirota yang berpasangan dengan Yuki Fukushima terpaksa membuat keputusan penting dalam hidupnya.

Hal ini kerana pemain badminon kelahiran Jepun itu sedang mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di lutut kirinya dan dalam masa yang sama juga beliau perlu memilih sama ada untuk menjalani pembedahan secepat mungkin atau tidak.

Baca Juga:

Ternyata, beliau telah membuat keputusan yang cukup berat dalam kariernya apabila buat memilih untuk meneruskan aksi kompetitif tanpa sebarang pembedahan.

Keputusan itu terpaksa diambil demi impiannya yang menyala untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris pada Julai dan Ogos nanti.

Ia sebenarnya bukan pertama kali Sayaka Hirota mengambil keputusan sedemikian, kerana beliau turut mengalami kecederaan sama hanya dua bulan sebelum Sukan Olimpik 2020 berlangsung tetapi pada ketika itu di lutut kanan.

Meskipun terpaksa bermain dengan bantuan pendakap lutut, Hirota masih mampu beraksi baik untuk mara ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun oleh kerana pergerakan terhad ekoran kecederaan dialami, perjalanan Hirota-Fukushima terhenti apabila tewas kepada Chen Qingchen-Jia Yifan yang akhirnya memenangi pingat perak.

Hirota kemudiannya menjalani pembedahan selepas temasya paling berprestij itu dan beliau bangkit dengan cukup hebat untuk berada di tangga kelima ranking dunia pada ketika ini.

Skrip hampir sama berlaku lagi buat karier Hirota, beliau disahkan mengalami kecederaan tersebut pada Disember lalu ketika bertemu Tanisha Crasto-Ashwini Ponnapa dalam Kojohanan Antarabangsa Syed Modi 2023.

Sebaik sahaja disahkan mengalami kecederaan tersebut, Hirota mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menjalani pembedahan dan mahu fokus terhadap proses pemulihan.

Namun, ia berubah dengan sekelip mata apabila pengumuman baharu dilakukannya untuk terus beraksi tanpa menjalani sebarang pembedahan.

“Tempoh hari saya mengumumkan bahawa saya akan menyokong proses pemulihan selepas pembedahan, tetapi saya memutuskan untuk meneruskan musim ini untuk menyertai Sukan Olimpik Paris tanpa pembedahan.”

“Pemikiran tentang Sukan Olimpik Paris sangat kuat dalam diri saya, saya tidak mahu menyesal, saya mahu berlari ke penghujungnya. Sekarang saya mula berfikir,” ujar Sayaka Hirota dalam kenyataannya di laman Instagram beliau.

Pendirian yang diambil Hirota ini membuktikan jiwa besar dimilikinya menjadi senjata utama beliau dalam menjadi antara pemain terbaik dunia.

Kegigihan itu seharusnya menjadi aspirasi buat para pemain terutamanya bakat baharu agar lebih bersemangat dan gigih memburu impian.