Ada sesuatu yang cukup istimewa tentang perjalanan ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun di pentas Sukan Asia.
36 tahun lalu, beliau berada di dalam gelanggang sebagai pemain ketika Malaysia menjuarai acara regu berpasukan pada Sukan Asia Beijing 1990.
Sehubungan dengan itu, kejayaan pada 1990 adalah merupakan kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas dalam acara berpasukan lelaki.
Peranan Besar Ahmad Jais Baharun
Petang semalam, Ahmad Jais kembali menyaksikan sejarah yang sama tercipta, cuma kali ini dari luar gelanggang sebagai ketua jurulatih skuad sepak takraw negara.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Malaysia menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 untuk menamatkan penantian selama 36 tahun.
Pada edisi Beijing 1990, Ahmad Jais merupakan sebahagian daripada skuad negara yang membawa pulang pingat emas acara berpasukan.
Beliau turut turun beraksi pada perlawanan akhir bersama Sha’ari Hashim dan Allahyarham Rosli Rahman dalam regu kedua.
Ketika itu, Ahmad Jais Baharun berjuang untuk mencipta kejayaan buat negara dengan kudratnya sendiri sebagai seorang pemain. Tiga dekad lebih kemudian, beliau kembali ke pentas yang sama dengan tanggungjawab berbeza.
Bukan lagi sebagai tekong yang perlu mencari mata di tengah gelanggang, sebaliknya sebagai individu yang bertanggungjawab membimbing pemain, menyusun percaturan dan memastikan skuad negara bersedia menghadapi antara detik paling penting dalam karier mereka.
Dan akhirnya, sejarah itu berulang. Malaysia kembali bergelar juara acara regu berpasukan Sukan Asia sekali gus menamatkan penantian panjang mereka.
Menariknya, Ahmad Jais kini meletakkan namanya sebagai individu pertama dalam sepak takraw negara yang merasai kejayaan Sukan Asia dalam dua peranan berbeza.
Kejayaan di Aichi-Nagoya itu juga memperlihatkan bagaimana pengalaman seorang legenda diteruskan kepada generasi baharu.
Daripada berada di tengah gelanggang bersama rakan sepasukan seperti Sha’ari Hashim dan Allahyarham Rosli Rahman pada 1990, Ahmad Jais kini berdiri di tepi gelanggang untuk membimbing barisan pemain yang membawa cabaran Malaysia pada 2026.
Daripada gelanggang di Beijing ke tepi gelanggang Nagoya City Mizuho Park Gymnasium, perjalanan karier Ahmad Jais Baharun telah membentuk satu lingkaran yang cukup sempurna buat skuad sepak takraw negara.
Satu sumbangan yang tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak termasuklah para penyokong sepak takraw negara.