Siapa sangka dengan dedikasi dan usaha yang tinggi, seorang pemandu kereta api kini bertukar menjadi seorang juruterbang AirAsia dan kini memandu Airbus.
Dalam satu perkongsian di TikTok mengenai cerita inspirasi, seorang pemengaruh media sosial dan juga juruterbang AirAsia telah berkongsi kisah luar biasa rakan sekerjanya yang bermula dari seorang pemandu keretapi sebelum akhirnya berjaya mencapai impian sebagai juruterbang.
“Anda semua tidak akan percaya bagaimana juruterbang AirAsia ini bermula,” katanya dalam video yang mendapat ribuan tontonan.
“Kawan kita ini, sebelum dia menerbangkan Airbus, inilah yang dia pandu.”
Sambil menunjukkan gambar rakan sekerjanya di hadapan sebuah keretapi, juruterbang itu menambah, “Jangan main-main. Dari memandu kereta api kepada juruterbang Airbus.”
Kisah ini bukan sahaja menarik perhatian kerana perjalanan karier yang luar biasa, tetapi juga inspirasi untuk berjaya.
“Jadi jangan pernah kata anda tidak mempunyai peluang untuk mengejar impian. Jika seorang pemandu kereta api boleh menerbangkan Airbus, kenapa anda tidak boleh?”
Perjalanan dari memandu kereta api ke kokpit pesawat komersial adalah sesuatu yang jarang kita dengar, namun ianya bukanlah mustahil.
Beberapa tahun lalu, kisah inspirasi mengenai seorang juruterbang yang kini menjadi pemandu jenazah juga disebabkan kegawatan ekonomi akibat COVID-19 telah tular.
Kisah Ahmad Rashidi Mohd Nazri bekerja sebagai seorang juruterbang pesawat komersial di sebuah syarikat penerbangan komersial terkemuka yang berpangkalan di Abu Dhabi, Emriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyertai skim pemberhentian kakitangan susulan pandemik Covid-19.
Beliau bekerja sebagai pemandu van jenazah dan tidak kekok memulakan kerjaya baharunya.
Difahamkan, Rashidi bertemu dengan Mohd Zulhairi Zainol yang menjadi sukarelawan pengurusan jenazah percuma Amalteam, lalu menawarkan diri untuk menjadi pemandu van jenazah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.