Kisah jurulatih legenda, mendiang Karl-Heinz Weigang ketika mengendalikan skuad Perak kini diabadikan apabila sebuah buku khas mengenai perjalanan beliau bersama pasukan tersebut baharu sahaja dilancarkan sebentar tadi.
Ia sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar jurulatih dari Jerman itu dalam arena bola sepak negeri.
Buku bertajuk ‘Karl-Heinz Weigang: Kisah Di Sebalik Tabir, Di Bumi Perak’ hasil tulisan Zubir Shaharani, yang juga merupakan bekas kakitangan skuad Perak serta pernah berkhidmat di bawah mendiang sendiri, menghimpunkan pelbagai kisah di sebalik tabir sepanjang era Weigang membimbing pasukan tersebut.
Majlis pelancaran buku berkenaan diadakan di MU Hotel, Ipoh, dan dirasmikan oleh bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), YB Dato’ Zainol Fadzi bin Hj Paharudin yang juga merupakan ADUN Sungai Manik.
Penerbitan buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah tetapi juga satu usaha untuk mengangkat kembali legasi Weigang yang dianggap antara jurulatih paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak Perak.
Kisah yang dibukukan ini dijangka memberi gambaran lebih dekat tentang falsafah, disiplin dan pendekatan taktikal beliau yang meninggalkan impak besar kepada pemain dan struktur pasukan pada era tersebut.
Selain aspek kejayaan di padang, buku ini turut menyentuh sisi peribadi serta hubungan mendiang bersama pemain dan staf kejurulatihan, menjadikannya sebuah karya yang lengkap dalam mengimbau kembali detik-detik penting sepanjang era kegemilangan Perak di bawah kendaliannya.
Karl-Heinz Weigang & Perak Berpisah Tiada
Sebagai rekod, Karl-Heinz Weigang pernah membimbing Perak bermula tahun 1997 hingga 2000 yang menyaksikan skuad Yob berjaya menjulang Piala Malaysia 1998 dan 2000.
Ketika Perak dilihat semakin hampir untuk jatuh ke Liga Perdana 2015, Weigang kembali ke Ipoh pada pertengahan musim 2014 bagi membantu pasukan yang akhirnya terus kekal dalam kempen Liga Super.
Tidak cukup dengan itu, mendiang kembali sekali lagi pada 2016 untuk menggantikan Syamsul Saad yang ada ketika itu sudah mengendalikan 12 perlawanan.
Jodoh Weigang dengan Perak berakhir pada penghujung Februari 2017 dan digantikan dengan Mehmed Durakovic.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada 13 Jun 2017 selepas mengalami serangan jantung di Jerman pada usia 81 tahun.