Dalam dunia kerjaya, kita sering mengejar KPI dan kehadiran penuh demi mendapatkan elaun tambahan. Begitu juga di pejabat seorang pengguna Threads bernama @cintaaina.
Namun, ada satu kisah di sebalik sekeping sijil cuti sakit (MC) yang membuka mata ramai tentang erti pengorbanan dan ketabahan.
“Misteri” MC Sebulan Sekali
Puan Aina perasan ada seorang kakitangannya yang setiap bulan pasti akan mengambil cuti sakit selama sehari.
Di pejabat tersebut, sesiapa yang mempunyai rekod kehadiran (attendance) yang lengkap akan diberikan elaun khas.
Disebabkan MC tersebut, staf ini sering terlepas peluang mendapat wang tambahan itu. Tertanya-tanya dengan apa yang berlaku, Puan Aina bertindak menyelidik dan bertanya kepada penyelia (supervisor) staf tersebut. Jawapan yang diterima benar-benar mengejutkan.
Bukan MC Biasa, Tapi Perjuangan Nyawa
Rupanya, staf bernama Nurhanisa itu bukan sengaja mahu berehat. Dia adalah penghidap Thalassemia Major. Setiap bulan, dia perlu ke hospital bukan untuk “cuci darah” biasa, tetapi untuk menjalani proses pemindahan darah (blood transfusion) bagi menyambung nyawa.
Tanpa darah baru, badannya akan lemah dan tidak bermaya. Menyedari beban yang dipikul Nurhanisa, Puan Aina memanggilnya dan meminta segala dokumen berkaitan penyakitnya untuk diserahkan kepada bahagian Sumber Manusia (HR).
Beritanya? Nurhanisa dibenarkan bercuti pada hari temu janji hospital tanpa dipotong elaun. Baginya, itu adalah satu rahmat yang sangat besar.
“Terima kasih banyak Puan Aina…”
Kata-kata itu diucapkan berkali-kali dengan wajah yang sangat bersyukur. Puan Aina sendiri terharu melihat ketabahan gadis ini.
“Nanti Character Saya Berubah Tak Puan?”
Ada satu momen lucu yang masih terngiang-ngiang di telinga Puan Ainan. Nurhanisa pernah berseloroh tentang darah orang lain yang masuk ke dalam badannya.
“Puan tahu tak, kalau saya tambah darah ni, ambil darah orang lain tau. Lepas tu tak tahu la karakter saya mesti berubah ikut pemilik darah tu,” katanya sambil ketawa kecil. Walaupun dalam kesakitan, dia tetap mampu bergurau.
Al-Fatihah Buat Nurhanisa
Namun, takdir mengatasi segalanya. Nurhanisa kini telah pergi meninggalkan kita semua buat selamanya. Perjuangannya melawan Thalassemia akhirnya terhenti di sini. Kisah ini menjadi peringatan buat kita semua supaya jangan cepat menghukum tanpa usul periksa.
Buat para pejuang Thalassemia di luar sana, teruskan kuat. Anda adalah insan-insan hebat yang bertarung setiap hari untuk sebuah kehidupan.
Kisah ini bukan sahaja meruntun jiwa malahan membuka orang ramai untuk lebih empati dengan insan-insan terpilih ini.