Sudah menjadi lumrah buat kita mempunyai satu prasangka negatif terhadap individu yang badannya berbau busuk dengan mengaitkan ia tidak menjaga kebersihan diri.
Bagaimanapun, satu hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna Threads @husnazaris yang bertemu dengan individu yang badan berbau hanyir rupanya disebabkan penyakit yang jarang ditemui dan bukanlah seperti yang digambarkan oleh masyarakat.
Menerusi gambar yang dikongsikan, pemandu Grab telah meletakkan notis mengenai penyakit serius yang dihadapinya sebagai makluman buat setiap pelanggan.
“Hello saya pemandu Grab yang mengalami masalah metabolisme (Metabolic Disorder), masalah yang tiada ubat tetapi saya pembersih, harap maaf,” mesej tertera pada notis yang diletakkan di bahagian belakang tempat duduk pemandu.
Apa itu TMAU?
Trimethylaminuria (TMAU), atau lebih dikenali sebagai Sindrom Bau Ikan, merupakan satu gangguan metabolik yang jarang berlaku di mana badan kehilangan keupayaan untuk memecahkan sebatian kimia yang dipanggil Trimethylamine.
Dalam keadaan normal, badan kita akan menukarkan sebatian ini (yang dihasilkan semasa proses pencernaan makanan tertentu) kepada bahan yang tidak berbau.
Namun, bagi penghidap TMAU, sebatian ini akan terkumpul di dalam badan dan dilepaskan melalui peluh, air kencing, serta nafas, sehingga menghasilkan bau yang kuat dan hanyir seumpama ikan busuk.
Susulan itu, pengguna Threads itu mendakwa dirinya baru sahaja mempelajari perkara itu dan tampil simpati dengan nasib si penghidap yang mungkin dipandang serong oleh masyarakat selama ini.
Menjawab persoalan adakah benar memang wujud bau ikan seperti yang digambarkan, wanita ini mendakwa dia memang mempunyai hidung yang sensitiviti tinggi namun pujian layak diberikan kepada pemandu kerana berjaya menutup bau tersebut.
Kereta pula dalam keadaan bersih dan wangi menjadikan pengalaman menaikinya lebih selesa dan kondusif. Pemandu juga mengunyah gula-gula getah untuk mengurangkan bau yang tidak disenangi.
Perkongsian wanita berkenaan langsung membuka mata masyarakat tentang kewujudan penyakit ganjil ini yang dihidapi oleh insan tertentu.
Kisah pemandu Grab ini adalah peringatan buat kita semua agar tidak terburu-buru menghukum hanya berdasarkan apa yang dihidu oleh hidung.
Di sebalik bau yang kurang menyenangkan, mungkin ada perjuangan kesihatan yang hebat sedang dilalui oleh seseorang. Kesedaran mengenai penyakit jarang ditemui seperti TMAU ini bukan sahaja menambah ilmu, malah mendidik kita untuk menjadi masyarakat yang lebih empati dan bertimbang rasa.