Penggali kubur adalah pekerjaan yang jarang mendapat perhatian orang. Di kuburan, mereka ibarat orang asing yang terpaksa menguruskan jenazah yang mereka sendiri tidak kenal.
Namun, itu bukanlah alasan untuk menidakkan keikhlasan mereka. Bagi penggali kubur, disitulah mereka belajar bahawa setiap yang hidup pasti akan mati dan kubur adalah teman baik yang selalu mengingatkan mereka tentang Tuhan.
Dalam situasi COVID-19 yang melanda negara jiran, Indonesia, beban kerja penggali kubur dilihat lebih berat dan berisiko tinggi. Mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan mayat yang disahkan meninggal akibat wabak yang tiada ubatnya.
Di Pondok Ranggon, Jakarta Timur, Junaidi dan rakan sekerjanya sedang sibuk menguruskan mayat mangsa COVID-19. Dia mendedahkan bahawa mereka perlu menyelesaikan satu kubur dalam waktu kurang dari 10 minit. Ini bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.
“Sebaik sahaja ambulans tiba, kami mengeluarkan mayat, kami membawanya ke liang lahad, terus turun, kemudian segera menutupnya,” kata Junaidi dengan lelah. “[Mesti diselesaikan] 10 minit.”
Bagi dia, kebimbangan yang lebih besar adalah ketika mana mereka menurukan peti mayat dari perut ambulans. Kerana sewaktu proses itu, ada hubungan sentuhan antara Junaidi dan juga mayat mangsa COVID-19 yang dibalut dengan plastik.
“Setelah ditanam, kekhawatiran itu mula hilang,” lanjut ayah anak empat yang baru berusia 42 tahun itu.
Dilaporkan bahawa terdapat sekitar 50 penggali kubur di perkuburan Pondok Ranggon, salah satu dari dua perkuburan khas untuk kes kematian COVID-19 di Jakarta.
Di sini, Junaidi dan rakan-rakannya akan bekerja selama 15 jam dalam 7 hari seminggu dengan upah bulanan sebanyak Rp 4.2 juta bersamaan dengan RM 1,243.
Mereka sekurang-kurangnya perlu menggali 20 kubur baru setiap hari. Selepas menggali, mereka akan menanda kubur tersebut dengan papan putih yang sudah ditatah dengan nama, tarikh lahir dan tarikh kematian.
Junaidi memberitahu bahawa kerjanya mempunyai waktu rehat yang pendek kerana “ambulans tidak pernah berhenti datang untuk membawa jenazah.”
Untuk rekod, Indonesia mempunyai lebih 23,000 pesakit COVID-19 dengan 1,418 kematian yang dicatatkan. Namun beberapa media antarabangsa curiga dengan data yang dilaporkan oleh kerajaan Indonesia. Ia dipercayai kurang daripada jumlah sebenar, kerana bilangan ujian COVID-19 yang dilakukan adalah rendah.
Untuk bacaan lanjut mengenai COVID-19 yang melanda Indonesia, klik pautan di bawah.
Gagal Patuh Perintah Kuarantin, Indonesia Kurung Rakyat Degil Dalam Rumah Hantu
Imam Di Indonesia Nekad Ke Masjid Untuk Pimpin Solat Terawih, Tidak Percaya Dirinya Positif COVID-19
Gara-Gara Pulang Dari Jakarta, Penduduk Kampung Di Indonesia Jadi Mangsa COVID-19