Hangat dibincangkan pada ketika ini sama ada dalam dan luar negara mengenai perang tarif antara dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada kali ini, Faiz Azizan selaku penulis isu semasa di Facebook tampil berkongsi dengan lebih lanjut mengenai kronologi perang tarif serta ramalan daripada Ray Dalio.

Baca Juga:

Perang tarif antara AS dan China merupakan salah satu daripada isu perdagangan yang paling kontroversial dalam sejarah moden.

Di sebalik segala ketegangan ekonomi, hubungan antara Presiden AS, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, penuh dengan unexpected outcome yang mencabar.

Perkara ini turut diulas oleh ahli ekonomi dan pengasas dana pelaburan terkemuka Bridgewater iaitu Ray Dalio, yang mengatakan bahawa dunia kini sedang beralih kepada ‘New World Order’.

Perang tarif
Ray Dalio. Sumber: Ted Talks

Dalio berpendapat bahawa sejarah menunjukkan bahawa kuasa dunia sentiasa beralih. Dahulu, kuasa besar dunia adalah UK, kemudian AS, dan kini China sedang berusaha mengambil tempat tersebut.

Dalam konteks perang tarif ini, kita dapat melihat bahawa ketegangan antara AS dan China bukan hanya sekadar soal perdagangan tetapi juga berkait rapat dengan perebutan pengaruh ekonomi dan politik di peringkat global.

Ini merupakan timeline tarif war yang dilaporkan AP News:

April 2017: Rundingan Awal Perdagangan

Perang tarif

Pada awal pentadbiran Trump 1.0 dulu, satu perjanjian 100 hari untuk rundingan perdagangan antara AS dan China dicapai. Trump berhasrat untuk mengurangkan defisit perdagangan AS dengan negara-negara lain, termasuk China. Namun, rundingan tersebut gagal sebelum Julai 2017.

Ogos 2017: Siasatan Hak Cipta China

Trump memulakan siasatan mengenai dakwaan kecurian harta intelek oleh China yang menyebabkan kerugian tahunan mencecah sehingga $600 bilion.

Januari 2018: Tarif Panel Solar

AS mengenakan tarif sebanyak 30% terhadap panel solar yang diimport, yang memberi kesan langsung kepada China dalam pasaran solar global.

April 2018: Tindak Balas Beijing

Sebagai tindak balas, China mengenakan cukai ke atas barangan AS bernilai $3 bilion, termasuk produk pertanian dan aluminium. Tidak lama selepas itu, AS meningkatkan tarif 25% ke atas industri aeroangkasa, mesin, dan perubatan China bernilai lebih kurang $50 bilion.

China pula membalas dengan cukai 25% ke atas pesawat, kereta, soya, dan bahan kimia dari AS, juga bernilai sekitar $50 bilion.

Jun hingga Ogos 2018: Tarif Berbalas

Dalam tempoh tiga bulan, kedua-dua negara saling mengenakan tiga pusingan tarif balas yang menyebabkan perdagangan dua hala bernilai lebih daripada $360 bilion.

Disember 2018 – Mei 2019: Perjanjian yang Gagal

Walaupun kedua-dua negara bersetuju untuk menghentikan tarif baru pada Disember 2018, usaha untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan gagal.

Trump kemudian meningkatkan tarif daripada 10% kepada 25% ke atas barangan China bernilai $200 bilion. Washington turut mengharamkan Huawei daripada mendapatkan teknologi AS, yang seterusnya membawa perang perdagangan ini ke sektor teknologi.

Oktober – Disember 2019: TikTok dan Sekuriti Negara
Perang tarif
Sumber: RNZ

Pihak berkuasa AS memulakan siasatan keselamatan negara terhadap aplikasi TikTok. Pentagon mengarahkan kakitangan kerajaan untuk membuang aplikasi tersebut dari peranti mereka.

Januari 2020: Perjanjian Fasa Satu

AS dan China menandatangani perjanjian perdagangan fasa satu, di mana China bersetuju untuk membeli tambahan $200 bilion barangan AS dalam tempoh dua tahun. Namun, sasaran ini akhirnya gagal dicapai.

Oktober 2022 – Mei 2024: Tindakan Biden

Di bawah pentadbiran Presiden AS Joe Biden, tarif dikenakan terhadap kenderaan elektrik, sel solar, dan peralatan perubatan dari China, yang terus menambah ketegangan perdagangan antara kedua-dua negara.

Februari 2025: Trump Kembali
Perang tarif
Sumber: KRON4

Selepas kembali ke Rumah Putih, Trump mengenakan tarif sebanyak 10% ke atas semua import dari China. China membalas dengan mengenakan cukai terhadap arang batu, gas, dan mesin pertanian dari AS.

Mac 2025: Peningkatan Tarif dan Tindak Balas China

Tambahan 10% tarif dikuatkuasakan, menyebabkan China meningkatkan cukai ke atas eksport utama AS.

Mac 2025: Senarai Hitam Teknologi China
Perang tarif
Sumber: Macao News

AS menyenaraikan lebih daripada 50 syarikat teknologi China, yang merupakan salah satu langkah penting dalam perang perdagangan ini.

Dengan langkah ini, AS mengehadkan akses China kepada teknologi pengkomputeran canggih, yang memberi kesan besar kepada sektor teknologi China.

Langkah ini, yang dilihat sebagai satu bentuk tekanan terhadap China, bertujuan untuk melemahkan keupayaan teknologi negara itu, terutamanya dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan 5G.

Penyenaraian syarikat-syarikat China ini di dalam senarai hitam turut menjejaskan rantaian bekalan global dan memberi kesan kepada banyak syarikat yang terlibat dalam teknologi, seperti Huawei, yang telah menghadapi sekatan lebih ketat dalam mengakses peralatan dan teknologi dari syarikat-syarikat AS.

April 2025: Hari Pembebasan Trump

Trump mengisytiharkan ‘Hari Pembebasan’ dengan mengenakan tarif 34% ke atas semua import dari China. Sebagai balasan, China mengenakan cukai 34% ke atas barangan AS dan melancarkan penyiasatan anti-monopoli terhadap DuPont China Group Co.

April 2025: Kenaikan Tarif AS ke 104%

AS meningkatkan tarif kepada 104%, dengan China membalas dengan kenaikan cukai kepada 84%.

April 2025: Tarik Balas dengan Kenaikan 145%

Trump akhirnya menaikkan tarif kepada 145% ke atas import China, sementara menghentikan tarif ke atas negara lain selama 90 hari. China pula meningkatkan cukai mereka dari 84% kepada 125%.

April 2025: Tarif AS Naik ke 245%

AS sekali lagi meningkatkan tarif ke 245% ke atas barangan China, dan China turut membalas dengan kenaikan cukai yang lebih tinggi.

April 2025: China Menentang “Penyalahgunaan Tarif”
Perang tarif
Sumber: Heute

China mendesak negara-negara lain, termasuk India, untuk menentang apa yang mereka sebut sebagai “penyalahgunaan tarif” oleh AS. Kedua-dua negara ini nampaknya semakin meningkatkan perang perdagangan mereka tanpa tanda-tanda untuk berundur dalam masa terdekat. Ini dijangka akan mengeruhkan keadaan ekonomi global yang tidak stabil.

Perang tarif antara AS dan China bukan hanya tentang ekonomi, tetapi juga tentang kuasa geopolitik. Seperti yang dikatakan oleh Ray Dalio, dunia sedang menyaksikan peralihan kuasa besar daripada AS kepada China, dan ketegangan perdagangan ini adalah sebahagian daripada proses itu.

Tindakan yang diambil oleh kedua-dua negara ini jelas menunjukkan betapa rumitnya hubungan mereka.

Jika pada waktu Trump 1.0, mereka berbincang selepas 3 tahun, apakah kali ini kita mungkin melihat sebarang penyelesaian dalam masa terdekat? Tiada siapa yang tahu.