Tun S. Samy Vellu meninggalkan kesan besar dalam kancah politik Malaysia. Jasanya masih dapat dirasa oleh penyokong, rakan sekerja di Barisan Nasional, musuh dan juga ahli politik generasi hari ini. Berita kematiannya di umur 86 tahun pastinya menjadi berita hangat dan sukar diterima oleh sesetengah pihak.

Samy Vellu adalah Ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974 hingga 2008, berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya dari 1983 hingga 1989 dan sekali lagi dari 1995 hingga 2008. Beliau adalah presiden MIC paling lama berkhidmat selepas memegang jawatan itu selama 31 tahun dari 1979 hingga 2010. Beliau juga merupakan salah seorang menteri paling lama berkhidmat dalam Kabinet iaitu selama 29 tahun.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Antara cerita yang paling dikenang mengenai sosok Samy Vellu ini adalah kisah bagaimana beliau mempertahankan negara ketika Indonesia menentang penubuhan Malaysia yang menggabungkan Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu panji negara.

Kisahnya, Indonesia melalui Presiden Sukarno menentang keras cadangan penubuhan ini. Pada 16 September 1963, iaitu hari pembentukan Malaysia, para pemuda Indonesia telah berkumpul di Medan untuk menunjuk perasaan dan menawan Konsul Malaysia di sana.

Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Disebabkan itu pada 17 September 1963, sekumpulan anak muda Malaysia telah pergi berdemo di hadapan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Antara sosok penting yang ada pada masa itu adalah Samy Vellu.

Beliau bersama dengan Dato’ Mohd Khalid Yunus (bekas timbalan menteri dan ahli parlimen) telah melakukan aksi gila dengan menurunkan simbol pancasila dan menaikkan bendera Malaysia di Kedutaan Indonesia. Selepas itu, mereka kemudiannya mengheret simbol berkenaan ke kediaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn.

Apa yang lucunya adalah, Khalid Yunus sebenarnya datang ke demonstrasi di Kedutaan Indonesia itu sebagai wartawan yang ditugaskan untuk melaporkan mengenai kejadian tersebut. Tetapi entah bagaimana, beliau yang sepatutnya membuat liputan akhirnya menjadi sebahagian daripada penunjuk perasaan barisan hadapan bersama-sama dengan Samy Vellu.

Difahamkan selepas membawa simbol itu ke rumah Tunku, mereka telah menyuruh Tunku memijak simbol berkenaan. Namun Tunku enggan. Melihat Tunku yang berkeras, mereka akhirnya mengangkat Tunku dan meletakkannya di atas simbol berkenaan.

Tindakan terbabit jelas mendatangkan amarah buat Soekarno sehingga beliau membalas dendam dengan melancarkan gerakan yang terkenal iaitu Ganyang Malaysia. Tunku pula menafikan bahawa beliau memijak simbol tersebut dan turut tidak bersetuju dengan sikap segelintir penunjuk perasaan yang keterlaluan.