Mahkamah Tinggi telah memerintahkan seorang pendakwah untuk membayar ganti rugi berjumlah RM2.5 juta kepada Khairy Jamaluddin (KJ) susulan kenyataan berunsur fitnah berkaitan status vaksin bekas menteri kesihatan itu.
Memetik Free Malaysia Today, Khairy telah memfailkan saman terhadap Rasyiq Alwi, dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq pada tahun 2022 atas dakwaan bahawa beliau telah ‘berbohong’ mengenai status vaksinasinya.
Baca Juga:
- Kerajaan Tanggung Kerugian RM185 Juta Ekoran Vaksin Covid-19 Tamat Tempoh
- Wabak Influenza Makin Meningkat, Vaksinasi Ini Mampu Kurangkan Kadar Pesakit Di Hospital!
- Kematian Arwah Ibu Difitnah Golongan Anti Vaksin, Lelaki Ini Mahu KKM Ambil Tindakan
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berpendapat bahawa kenyataan yang dibuat oleh Rasyiq terhadap Khairy adalah tidak benar serta telah mencemarkan nama baik bekas menteri tersebut.
“Defendan (Rasyiq) juga secara terang-terangan tidak menghiraukan budi bicara mahkamah dengan cuba melengahkan perbicaraan dan juga keputusan hari ini dengan memfailkan permohonan untuk membuka semula kes.
“Mahkamah tidak akan bertolak ansur dengan percubaannya untuk menyekat kes itu,” katanya
Sebelum ini, perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran Rasyiq meskipun peguam Khairy telah memaklumkan tarikh perbicaraan kepada pendakwah tersebut.
Pada hari ini, mahkamah memutuskan bahawa Rasyiq telah mengambil kenyataan Khairy berhubung usaha vaksinasi COVID-19 oleh kerajaan secara di luar konteks.
“Adalah tidak bertanggungjawab bagi defendan untuk menimbulkan keraguan terhadap usaha plaintif dan kerajaan untuk memerangi Covid-19.
“Kenyataan seperti ini melemahkan semangat barisan hadapan (pekerja penjagaan kesihatan),” kata Raja Mohzanuddin.
Sehubungan itu, Khairy dianugerahkan ganti rugi am sebanyak RM2 juta, ganti rugi teruk RM250,000 dan ganti rugi teladan RM250,00 lagi.
Sementara itu, Khairy memberitahu para pemberita bahawa keputusan itu bukan hanya kemenangan untuknya tetapi juga untuk barisan hadapan yang telah berkhidmat semasa wabak itu.
“Kenyataan beliau melibatkan bukan sahaja saya tetapi juga mereka yang terlibat dalam memerangi COVID-19. (Pada pendapat saya) mahkamah telah memberi mesej bahawa sebarang kenyataan berunsur fitnah yang dibuat semasa krisis perlu dihukum,” katanya.