Kelab Belanda, FC Utrecht telah memfailkan aduan dengan mendakwa bahawa Olympique Lyon, telah menurunkan pemain tidak sah dalam aksi Liga Europa.
Pemain Lyon, Rachid Ghezzal — yang melakukan hantaran untuk gol kemenangan dalam perlawanan Liga Europa di Stadium Galgenwaard — tidak layak untuk beraksi.
UEFA telah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan.
Pada 25 September, FC Utrecht tewas 0-1 kepada Olympique Lyon dalam saingan Liga Europa hasil jaringan Tanner Tessmann. Hantaran gol tersebut disumbangkan oleh Ghezzal — yang dipercayai sebenarnya tidak sepatutnya bermain sama sekali.
“Kami mengesahkan bahawa, selaras dengan Artikel 31 dalam peraturan pertandingan Liga Europa UEFA, pemain Rachid Ghezzal hanya layak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan kelab UEFA bermula daripada tempoh pendaftaran seterusnya,” kata UEFA seperti dipetik oleh akhbar Perancis Le Dauphiné Libéré.
Olympique Lyon telah pun dimaklumkan UEFA, bahawa pemain Algeria berusia 33 tahun itu tidak akan layak beraksi untuk Les Gones dalam saingan Eropah sehingga Januari nanti.
FC Utrecht kini merasakan mereka telah diperlakukan dengan tidak adil dan telah memfailkan aduan, menurut UEFA, yang turut melaporkan bahawa siasatan tatatertib telah dimulakan.
Lyon masih menunggu hasil penuh siasatan oleh UEFA itu. Di mana kelab itu berdepan dengan hukuman berat termasuk pemotongan mata jika didapati bersalah.
Portal Voetbal International mengesahkan perkara ini dan menyatakan bahawa kes tersebut masih dalam proses. Setakat ini, belum ada maklumat lanjut mengenai kemungkinan akibatnya.