Foodie Media Berhad, syarikat di sebalik jenama popular KL Foodie, kini bakal melangkah ke fasa baharu dengan perancangan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia melalui penawaran awam permulaan (IPO), lapor The Edge.
Langkah besar ini dilihat sebagai usaha syarikat untuk memperkukuh tenaga kerja dan membina fasiliti khas bagi kandungan live streaming, sejajar dengan cita-cita mereka untuk terus dominan dalam dunia media digital.
Menurut draf yang dikongsikan kepada umum, dana daripada IPO ini juga akan digunakan untuk membeli peralatan baharu, menaik taraf kelengkapan sedia ada, serta melanggan perisian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dijangka menjadi tulang belakang operasi mereka di masa depan.
Foodie Media Berhad: 250 Juta Saham
Secara keseluruhan, IPO ini melibatkan 250 juta saham — mewakili 28.15% daripada modal saham diperbesar syarikat.
Bagi pelabur runcit, sebanyak 59.4 juta saham akan ditawarkan, termasuk 44.4 juta saham khas untuk orang awam Malaysia, manakala bakinya diagihkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang pernah menyumbang kepada syarikat ini.
Bagi tawaran institusi pula, sebanyak 190.6 juta saham akan diagihkan secara penempatan persendirian pada harga yang akan ditentukan melalui proses book-building.
Menariknya, sebahagian besar saham ini (112 juta) adalah saham jualan semula oleh pemegang saham sedia ada, termasuk barisan pengurusan tertinggi Food Media sendiri.
Antara mereka, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Nicholas Lim Pinn Yang, akan menyaksikan pegangannya susut daripada 27.35% kepada 21.81% selepas IPO.
Abangnya, Edward Lim Pinn Jian, yang juga Ketua Pegawai Kandungan, bakal mengurangkan pegangan daripada 17.91% kepada 14.28%.
Isteri Nicholas, Ang Rui Mei, yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi, turut mengurangkan sahamnya daripada 18.90% kepada 15.07%.
Selain itu, nama yang tidak asing dalam dunia F&B, Bryan Loo (pengasas Tealive) bersama ahli keluarganya juga antara pemegang saham yang akan mengurangkan pegangan dalam IPO ini.
Menariknya, Bryan dan keluarga kini juga sedang dalam proses membawa syarikat mereka, Loob Bhd (pemilik jenama Tealive), ke pasaran utama Bursa.
Food Media bukan calang-calang pemain dalam bidang digital media publishing.
Syarikat ini mengendalikan 34 jenama gaya hidup merentasi Asia Tenggara, dari KL Foodie, Penang Foodie, Singapore Foodie hingga ke Bangkok Foodie, dan menghasilkan kandungan untuk platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, Threads, YouTube, dan banyak lagi.