Kerajaan Malaysia bakal memperkenalkan sistem klasifikasi baharu yang lebih adil untuk menggantikan sistem sedia ada yang mengklasifikasikan pendapatan isi rumah berdasarkan B40 (40 peratus terendah), M40 (40 peratus pertengahan), dan T20 (20 peratus teratas).

Menurut NSTP, sistem baharu ini akan menggunakan pendapatan boleh guna bersih, iaitu pendapatan selepas ditolak cukai, potongan, dan perbelanjaan asas keperluan hidup.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, langkah ini adalah kunci untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau menyatakan bahawa perubahan ini akan berlaku dalam masa terdekat kerana kerajaan perlu menentukan kriteria kelayakan penerima subsidi sebelum melaksanakannya tahun ini.

“Pendekatan klasifikasi pendapatan sedia ada adalah sistem warisan yang sesuai untuk permintaan dan infrastruktur pada waktu ia diperkenalkan.

“Namun, teknologi kini membolehkan kita mengumpul data yang lebih terperinci untuk migrasi kepada sistem yang lebih adil,” kata Rafizi semasa sesi Fireside Chat di Forum Ekonomi Malaysia.

Beliau turut menekankan bahawa menggunakan kaedah garis statistik semata-mata untuk mengklasifikasikan isi rumah membawa risiko tinggi terhadap ketepatan dalam menentukan siapa yang layak atau tidak layak menerima bantuan.

“Kita perlu infrastruktur data seperti PADU untuk memastikan sistem ini benar-benar memberi manfaat kepada individu dan isi rumah yang memerlukan.

“Ini membolehkan kita bergerak ke arah klasifikasi yang lebih unik berdasarkan orang ke orang, bukan lagi secara pukul rata,” tambah Rafizi.

Kajian terkini oleh Khazanah Research Institute (KRI) turut mengkritik klasifikasi isi rumah sedia ada, dengan menyatakan hanya 30 peratus teratas isi rumah benar-benar tergolong dalam kelas pertengahan atau aspirasi.

Penemuan ini bercanggah dengan pandangan kerajaan yang mengklasifikasikan kumpulan M40 dan T20 (60 peratus teratas) sebagai kelas pertengahan.

Pendekatan baharu ini dijangka memberi impak besar kepada cara bantuan kerajaan seperti subsidi RON95 disalurkan.

Dengan sistem yang lebih granular, golongan yang benar-benar memerlukan akan lebih mudah dikenalpasti, dan ini diharap dapat mengurangkan ketirisan subsidi yang selama ini turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi.

Namun, perubahan ini memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan pembangunan infrastruktur data yang mantap untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan lancar.