Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memulakan percubaan sistem baharu Vehicle Access Management System (VAMS) bagi memperbaiki aliran trafik di tepi jalan (kerbside) serta menyediakan akses yang lebih lancar ke terminal.

Memetik The Edge Malaysia, Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berkata tempoh percubaan di Aras 5 (pelepasan/drop-off) dan Aras 3 (ketibaan/pickup) Terminal 1 akan bermula pada 1 September hingga 31 November 2025.

Baca Juga:

Bagi Terminal 2, tempoh percubaan VAMS akan bermula pada 15 September hingga 30 November 2025.

Pengendali lapangan terbang itu memaklumkan, percubaan ini bertujuan meningkatkan kelancaran trafik, menambah baik aspek keselamatan, serta memastikan akses lebih selesa ke terminal.

“Sistem ini memperkenalkan kemasukan dan keluar berjadual melalui palang automatik (barrier gates), yang direka untuk mengurangkan kesesakan akibat hentian tidak sah atau berhenti terlalu lama di tepi jalan,” katanya.

Sepanjang fasa percubaan, VAMS akan memberikan tempoh 10 minit percuma untuk aktiviti drop-off dan pickup, dengan sistem memantau kenderaan yang melebihi had masa tersebut.

“Tiada caj penalti akan dikenakan sepanjang tempoh percubaan. Sebaliknya, fokus diberikan kepada pemantauan corak trafik, tingkah laku pemandu, dan prestasi sistem keseluruhan bagi menentukan tempoh percuma serta struktur caj penalti yang paling sesuai sebelum pelaksanaan penuh,” katanya.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata terminal lapangan terbang selalunya menjadi tangkapan pertama dan terakhir bagi pengembara tentang Malaysia.

“Kami mahu tanggapan itu mencerminkan hospitaliti dan kecekapan negara, khususnya dalam persediaan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambah beliau.