Pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano mengesahkan Jurgen Klopp akan menjadi pengurus baharu skuad kebangsaan Jerman.
Fabrizio Romano menerusi ciapan “Here We Go” melaporkan Klopp telah menerima tawaran DFB untuk mengambil alih Die Mannschaft.
Perbincangan kini hanya melibatkan butiran kontrak jangka panjang, projek pembangunan yang akan diterajui beliau serta proses keluar daripada Red Bull Group.
Perkembangan itu sekali gus menandakan Klopp kembali ke dunia kejurulatihan selepas meninggalkan Liverpool pada penghujung musim 2023/24.
Menurut laporan media Jerman sebelum ini, DFB bukan sekadar mahu Klopp menjadi pengurus, malah mahu beliau mengetuai projek pembinaan semula bola sepak negara secara menyeluruh selepas kegagalan di Piala Dunia 2026.
Klopp dijangka diberikan kuasa penuh untuk membawa masuk barisan kejurulatihan pilihannya sendiri, termasuk Peter Krawietz, Pepijn Lijnders dan Zsolt Löw.
Selain itu, beliau juga dilaporkan akan mempunyai pengaruh besar dalam pemilihan pemain kebangsaan, membentuk identiti permainan baharu Jerman serta menyusun semula sistem pembangunan bakat di semua peringkat.
DFB dipercayai sanggup memenuhi hampir semua syarat yang diminta Klopp kerana melihat bekas pengurus Borussia Dortmund dan Liverpool itu sebagai individu paling sesuai untuk mengembalikan Jerman sebagai salah satu kuasa utama bola sepak dunia.
Dalam perkembangan sama, Fabrizio Romano turut mendedahkan Red Bull sebelum ini mempertimbangkan Oliver Glasner sebagai pengganti Klopp dalam struktur bola sepak mereka.
Namun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan selepas Glasner memilih untuk menyertai Nottingham Forest.
Kini, era baharu bola sepak Jerman bakal bermula dengan Jurgen Klopp sebagai individu yang diberi tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan Die Mannschaft.