Pemuda tempatan bernama Damiral Imran bukanlah nama asing lagi di dalam dunia jual beli kad pokemon apabila pernah menjadi sensasi pada Oktober tahun lalu yang berharga RM1.87 juta.
Nampaknya, figura terkenal ini sekali lagi membuat kejutan baru-baru ini apabila mengiklankan satu tawaran yang lebih ‘gila’ di mana koleksi kad pokemon yang mahu dijualkan mempunyai nilai pasaran sekitar RM4.68 juta sehingga RM4.75 juta.

Sebagai bukti, dia berkongsi satu tangkap layar beserta pautan untuk menelesuri nilai sebenar pasaran sebahagian koleksi yang mahu dijualkan tersebut menerusi sebuah aplikasi yang dikenali sebagai Shiny.
“Saya mahu jual sebahagian koleksi pokemon peribadi, saya hanya minta RM4.4 juta sahaja,” pintanya.
Menariknya, dia turut memberi pilihan alternatif cara pembayaran dengan tunai RM3.8 juta bersama sebuah kereta sport mewah sebagai pelengkap persetujuan pembelian bernilai RM4.4 juta terbabit.


Tambahnya, hasil penat lelah mengumpul dan melebarkan koleksi kad berkenaan dan kini memberi peluang kepada insan yang bertuah untuk memiliki koleksi kad pokemon yang boleh dilabel sebagai rare dan edisi terhad di dunia.
Tidak sekadar itu, dia juga berbesar hati untuk menawarkan komisyen setinggi RM80,000 kepada individu yang boleh menghubungkan kepada pengumpul atau individu yang benar-benar mahu membelinya.
Untuk urusan jual beli pula boleh dibuat secara bersemuka di sekitar Kuala Lumpur.
Menurut pembaca sekalian, adakah ia satu pelaburan jangka masa panjang seperti yang digembar-gemburkan atau sekadar hype pada saat ini sahaja?