Indonesia mencipta kejutan apabila mara ke peringkat separuh akhir dalam saingan AFC B-23 Tahun di Qatar sekaligus semakin hampir untuk layak ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Skuad kendalian Shin Tae-yong berjaya mengatasi Korea Selatan dalam penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Baca Juga:

Pratama Arhan menjadi wira apabila menyudahkan sepakan penalti terakhir bagi skuad Garuda sekaligus memenangi perlawanan dengan keputusan 11-10.

Kejayaan ini nyata mendapat sambutan dari komuniti bola sepak Asia Tenggara yang mana rata-rata dari mereka kagum dengan pencapaian yang diraih oleh negara jiran itu sejak dibimbing oleh Shin Tae-yong.

Pencapaian ini nyata mengejutkan dimana pada awalnya ramai yang meramalkan Indonesia bakal bergelut untuk lepas dari saingan peringkat kumpulan A yang terdiri dari Qatar, Australia dan Jordan.

Akan tetapi mereka berjaya melepasi kumpulan A dengan muncul sebagai naib juara selepas menewaskan Australia dan membelasah Jordan untuk menempah tiket ke suku akhir.

Bertemu dengan negara kelahiran ketua jurulatih mereka, pemain skuad Garuda Muda tidak berasa gentar dan tidak terlalu menghormati pemain lawan sekaligus berjaya mencatat kemenangan.

Hanya tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.

Korea Selatan pula gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik untuk acara bola sepak lelaki buat kali pertama dalam sejarah selepas tewas kepada Indonesia.

Menurut penulis sukan negara tersebut iaitu Steve Han, beliau menyifatkan kekalahan itu sebagai karma berdasarkan insiden yang terjadi kepada Shin Tae-yong ketika Piala Dunia 2018.

“Dalam penampilan terakhirnya sebagai pengendali Korea pada tahun 2018, penyokong telah melempar telur kepada Tae-yong dan para pemain selepas mereka menewaskan Jerman di Rusia.

“Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) membiarkan beliau menunggu tanpa sebarang lanjutan kontrak sebelum berpisah. Enam tahun kemudian, ini yang terjadi,” katanya menerusi laman X.