Indonesia terus mencipta kejutan luar biasa apabila menewaskan Korea Selatan menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 untuk mara ke separuh akhir Piala Asia B-23 (Bawah 23 tahun) di Qatar.

Ia adalah perlawanan yang cukup dramatik dan sudah pasti menjadi bualan peminat bola sepak dari seluruh Asia.

Baca Juga:

Keputusan itu bermakna Indonesia kini tinggal selangkah lagi  mencapai cita-cita beraksi di Sukan Olimpik 2024 dalam acara bola sepak.

Hanya tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.

Ketika perlawanan tersebut, skuad kendalian Shin Tae-yong itu mempamerkan corak permainan menarik dan tidak memberikan ruang kepada Korea Selatan untuk menyerang.

Pada minit ke 15, Stadium Abdullah Bin Khalifa bergegar dengan sorakan ribuan penyokong Indonesia apabila Rafael Struick menjaringkan gol pertama dengan rembatan cantik dari luar kotak penalti.

Malah, Maselino Ferdinan berpeluang menambah gol kedua Indonesia ketika gawang lawan sudah terbuka luas namun percubaannya tersasar.

Korea Selatan akhirnya menyamakan kedudukan hasil jaringan pemain pertahanan Indonesia, Komang Teguh yang tertanduk ke gawang sendiri.

Namun ia tidak mematahkan semanga skuad muda Garuda untuk terus mengandakan asakan. Rafael Struick sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring selepas menyudahkan hantaran jarak jauh Ivar Jenner dari kawasan tengah.

Indonesia mendahului 2-1 sehinggat tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Korea Selatan bangkit lebih garang dan melancarkan serangan bertubi-tubi ke Indonesia. Mereka juga terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Lee Young Jun dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Kekurangan pemain ternyata tidak menjadi penghalang kepada Korea Selatan yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 84 menerusi rembatan Jeong Sang Bin.

Perlawanan berakhir dengan kedudukan 2-2 dan ia terpaksa diheretkan ke masa tambahan. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati sehingga buntu mencari gol ketiga.

Situasi itu membawa kepada penentuan sepakan penalti yang cukup mendebarkan dan penuh drama. Keputusan memihak kepada Indonesia dengan kemenangan 11-10.