Indonesia meneruskan rentak cemerlang apabila membelasah Jordan 4-1 pada saingan Piala Asia B-23 sekaligus mengesahkan tiket ke suku akhir selaku naib juara kumpulan A.

Ini adalah sejarah baharu bola sepak Indonesia dan kemenangan itu juga menghidupkan peluang mereka untuk memburu slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Baca Juga:

Mereka bermain dengan cukup bersemangat dan langsung tidak gentar dengan reputasi Jordan yang merupakan finalist Piala Asia 2023 bagi skuad senior.

Gol pertama skuad muda Garuda hadir pada minit ke 23 apabila Maselino Ferdinan menyempurnakan sepakan penalti. Jaringan tersebut memberikan semangat tambahan kepada mereka untuk terus mengandakan asakan.

Hasilnya mereka memperolehi gol kedua menerusi Witan Sulaeman yang menyudah gerakan cantik dalam kawasan kotak penalti pada minit ke 40. Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Stadium Antarabangsa Khalifa sekali lagi bergegar dengan sorakan ribuan penyokong setia Indonesia apabila Maselino Ferdinan menambah gol ketiga pada minit ke 70 dalam satu gerakan menarik bersama Witan Sulaeman.

Jordan cuba bangkit namun mereka sukar menembusi benteng pertahanan Indonesia yang beraksi cukup berdisiplin.

Namun, mereka berjaya memperolehi satu gol hasil jaringan sendiri Justin Hubner yang tertampan bola rembatan penyerang Jordan.

Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat pemain Indonesia yang terus menambah satu lagi gol menerusi tandukan Komang Teguh hasil lontaran jarak jauh Pratama Arhan pada minit ke 86.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan ia adalah kejutan terbesar dalam kejohanan ini.