Skuad muda Indonesia hanya tinggal selangkah lagi untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mengejutkan pasukan pilihan, Korea Selatan pada aksi suku akhir Piala Asia B-23.

Justeru itu, mereka hanya memerlukan kemenangan ke atas Uzbekistan di separuh akhir malam ini untuk mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik selepas 68 tahun.

Baca Juga:

Pengendali skuad itu, Shin Tae-yong yakin dengan kemampuan anak buahnya walaupun Uzbekistan merupakan lawan yang sukar dan belum bolos dalam 4 perlawanan setakat ini.

“Saya sudah kaji bagaimana mereka boleh menjaringkan 12 gol dan tidak bolos setakat ini. Salah satunya, mereka mampu menyerang dan turun bertahan dengan sangat cepat.

“Ini yang menjadi faktor kekuatan Uzbekistan. Kita akan hadapinya dan berpotensi untuk menang. Saya tidak boleh bercerita dengan lebih lanjut sebab itu adalah rahsia,” jelas Shin Tae-yong dipetik dalam laman web PSSI.

Jika Indonesia tewas, mereka masih berpeluang ke Sukan Olimpik menerusi perlawanan penentuan tempat ketiga.

Hanya tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.

Selain Indonesia dan Uzbekistan, turut beraksi di peringkat separuh akhir Piala Asia B-23 ialah Jepun serta Iraq.

Kemaraan Indonesia ke Sukan Olimpik sudah pasti bakal menjadi bualan peminat bola sepak dari seluruh Asia kerana ia adalah kejutan luar biasa daripada pasukan bukan pilihan.