Kebanjiran komuniti Rohingya di beberapa kawasan di Melaka kini mencetuskan kebimbangan berikutan tindakan segelintir daripada mereka yang mula menuntut hak luar daripada status sebagai pelarian.

Memetik Berita Harian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendedahkan, pihaknya menerima pelbagai aduan mengenai etnik itu yang cuba mendapatkan pengiktirafan rasmi daripada komuniti setempat.

Dianggarkan hampir 1,000 pelarian Rohingya kini menetap di sekitar Parlimen Kota Melaka, terutamanya di kawasan Duyong, Limbongan, dan Pengkalan Rama Pantai.

Komuniti Rohingya Mahu Penglibatan Mereka Di Melaka

Antara tuntutan yang disifatkan melampaui batas termasuklah permohonan melantik wakil Rohingya dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Limbongan, serta permohonan menganjurkan solat Jumaat sendiri di Pengkalan Rama Pantai.

Selain itu, ada juga individu yang cuba memohon tauliah mengajar agama daripada Jabatan Agama Islam Melaka (MAIM).

Mohd Noor Helmy menegaskan bahawa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau rapi situasi ini.

Walaupun hak mengamalkan agama bagi pemegang kad UNHCR dihormati, sebarang aktiviti terbuka yang menjejaskan ketenteraman awam tidak akan dikompromi.

Memetik laporan itu lagi, Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia menerima golongan ini atas dasar kemanusiaan sahaja dan status mereka kekal sebagai pelarian, bukannya warganegara.

Tegasnya, isu ini bukan lagi sekadar polemik politik, sebaliknya melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Selain isu penempatan, aduan turut diterima mengenai sikap kurang sopan dan kegagalan mematuhi prosedur oleh segelintir etnik itu ketika mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan.

Sumber