Sebelum ini kami pernah menerbitkan artikel berkenaan hiasan rumah sewa yang sungguh cantik. Meskipun rumah sewa, ia bukan penghalang untuk tidak kelihatan cantik. Itulah alasan yang digunakan oleh Irnanee Osman atau nama sebenarnya Nurul Irnanee binti Osman.
BACA: Lelaki Ini Dedahkan Hiasan Dalaman Rumah Sewanya. Memang Cantik
Bergelar ibu kepada 3 orang anak, Puan Irnanee juga merupakan seorang personal shopper Ikea dan sangat meminati dekorasi hiasan rumah. Hasil dari menyertai group dekorasi yang ada di Facebook, beliau berjaya mengubahsuai sendiri rumahnya dengan gaya yang dimahukan.
Bila ditanyakan gaya apa yang disukai, beliau menyatakan sangat berminat terhadap konsep Scandinavian. Tetapi memandangkan ia rumah sewa, untuk menghias ia jadi agak terhad. Namun ia bukan alasan untuk rumahnya tidak kelihatan cantik seperti rumah orang lain.
“Saya suka konsep Scandinavian, suka bila melihat rekaan dekorasi rumah-rumah orang luar di Instagram. Tapi kalau nak 100% macam tu memang tak dapat lah, jadi saya buat yang mana ada sahaja, bersederhana. Suka dengan warna-warna pastel juga, jadi saya cuma tambah penggunaan hiasan dengan warna-warna lebut.” katanya.
Kebanyakkan daripada perabot rumah dibeli di Ikea, manakala ada sebahagian daripadanya pula hanya dibeli di kedai perabot biasa. Gaya sederhana jadi pilihan dekorasi buat Puan Irananee memandangkan rumah yang disewanya hanya berkeluasan 1300 kaki persegi, ini supaya ia kelihatan lebih lapang dan selesa.
Untuk perabot pula, Puan Irananee akan menjual semula perabot lama di mudah.my sebelum menggantikannya dengan yang baharu. Ini satu langkah bijak buat anda yang gemar menukar perabot. Untuk hiasan, ia dilakukan secara sedikit demi sedikit dan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.
“Saya deko slow-slow, itu yang ambil masa agak lama. Saya merupakan suri rumah tangga sepenuh masa, dan mempunyai 3 orang anak kecil yang berusia 2 tahun, 3 tahun dan 6 tahun.
Si Kecil ni bukan boleh letak apa-apa, habis semua mahu dicapainya. Itu belum termasuk sepahkan rumah. Hahahaha, dah berapa banyak pasu saya yang pecah. Tapi itu saya tak jadikan alasan untuk tidak deko rumah, sebab saya minat” terang puan Irananee lagi.
Sentuhan gaya sederhana oleh Puan Irnanee ini nampak sangat kemas dan tersusun. Ini mungkin boleh dijadikan sebagai rujukan buat anda yang gemar dengan gaya ringkas seperti ini.