Indomie merupakan salah satu produk Indonesia yang berjaya menembusi pasaran global dengan jayanya kerana keenakkan mi segera itu sendiri dan betapa mudahnya untuk disediakan sewaktu anda lapar.

Mi segera Indomie dari Indonesia mendapat perhatian selepas Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Taiwan dilaporkan menemui bahan kimia karsinogenik (penyebab kanser) dalam paket perencah bagi perisa Rasa Soto Banjar Limau Kuit.

Namun, beberapa hari selepas FDA Taiwan membangkitkan kebimbangan, Agensi Pengawasan Makanan dan Dadah (BPOM) Indonesia menyatakan bahawa varian tersebut selamat untuk dimakan berdasarkan standard Indonesia, lapor The Jakarta Post.

Menurut laporan dari The Jakarta Post, FDA Taiwan telah menjalankan ujian makmal ke atas kumpulan mi segera yang diimport selepas menerima aduan daripada pengguna pada 6 Ogos.

Hasil ujian, yang diumumkan pada 9 September, mendedahkan bahawa sebanyak 0.1 mg per kg bahan kimia ethylene oxide dikesan dalam paket perencah. Oleh itu, produk tersebut melanggar Piawaian Toleransi Sisa Racun Perosak Taiwan, yang menetapkan bahawa ethylene oxide tidak boleh dikesan sama sekali.

Apakah itu Ethylene Oxide?

Kontroversi Indomie: Taiwan Dakwa Beracun, Indonesia Tegas Jamin Selamat
Sumber Gambar: AZoCleantech

Ethylene oxide adalah sejenis gas tanpa warna yang diklasifikasikan oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) sebagai karsinogen manusia, iaitu bahan yang boleh menyebabkan kanser.

Gas ini sering digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan bahan kimia lain, termasuk dalam pembuatan antifreeze, tekstil, plastik, detergen, dan pelekat.

Menurut Institut Kanser Kebangsaan Amerika Syarikat, pendedahan kepada ethylene oxide sering dikaitkan dengan beberapa jenis kanser seperti limfoma, leukemia, kanser perut, dan kanser payudara.

Pendedahan utama manusia kepada bahan kimia ini adalah melalui penyedutan (inhalation) dan pengambilan (ingestion).

Kumpulan mi segera Indomie yang diuji di Taiwan itu telah diimport dari Indonesia oleh sebuah syarikat di Kaohsiung, seperti yang dilaporkan oleh media Taiwan, SETNews.

Berikutan pengesanan ethylene oxide, kesemua 900 kg mi segera dari kumpulan tersebut diarahkan untuk dihantar pulang ke Indonesia atau dimusnahkan.

FDA Taiwan juga telah memperketatkan kawalan dengan meningkatkan saiz sampel makanan yang diimport oleh syarikat yang sama di Kaohsiung di sempadan, daripada 20 peratus kepada 50 peratus.

PT Indofood CBP Sukses Makmur (ICBP), pengeluar Indomie yang menghasilkan kumpulan mi segera yang terlibat, telah mengakui bahawa produk yang diuji di Taiwan itu tidak memenuhi standard Taiwan, seperti yang dilaporkan oleh The Jakarta Post.

Respons Syarikat dan Pihak Berkuasa Indonesia

income
Sumber Gambar:Kliklegal

Namun begitu, PT Indofood CBP Sukses Makmur (ICBP) menambah bahawa mereka tidak “secara rasmi mengeksport” kumpulan produk tersebut ke Taiwan. Syarikat itu menuduh seorang peniaga atau “pengimport tidak sah” yang bertanggungjawab mengatur penghantaran tanpa pengetahuan syarikat.

ICBP turut menyatakan bahawa semua mi segera yang dihasilkan di Indonesia mematuhi standard keselamatan makanan yang ditetapkan oleh BPOM dan Codex Standard. Codex Standard ini adalah piawaian yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada 12 September, BPOM mengesahkan perkara ini melalui satu kenyataan. Mereka menyatakan bahawa varian Rasa Soto Banjar Limau Kuit mempunyai permit pengedaran daripada BPOM, oleh itu ia boleh dijual di Indonesia dan kekal selamat untuk dimakan.

Agensi itu menambah, mereka akan terus berkoordinasi dengan pihak berkuasa Taiwan dan pihak-pihak lain yang terlibat untuk mengambil tindakan, serta memantau perkembangan situasi tersebut.