Media Prima Audio (MPA) dengan bangganya mengumumkan bahawa Kool 101 kini berwajah baharu sebagai Kool FM, menandakan satu langkah evolusi penting dalam dunia penyiaran tempatan.
Muncul dengan wajah yang sama tetapi misi yang berbeza, Kool FM membawa semangat baharu melalui tagline “Malaysia Dah Kool.”
Kini, pendengar bukan sahaja boleh didengari di Klang Valley, Penang dan Kuching, tetapi kini di Johor Bahru, Melaka dan Ipoh juga boleh menikmati siaran Kool FM melalui frekuensi radio, bukan sahaja menerusi aplikasi Audio+, menjadikan capaian kepada Kool FM lebih luas dan mudah di seluruh negara.
Suara Baharu Yang Menghubungkan Malaysia

Dengan hala tuju baharu ini, Kool FM beraspirasi untuk menjadi suara yang menghubungkan rakyat Malaysia melalui kisah yang bermakna dan perbualan yang tulus serta mencipta ruang di mana pendengar merasa didengar, difahami dan diwakili.
Sejak diperkenalkan, Kool 101 dikenali dengan tagline “Semasa, Sosial dan Muzik yang Familiar” yang menumpukan kepada berita semasa, perbincangan sosial dan lagu-lagu yang dekat di hati pendengar.
Kini, dengan perubahan kepada Kool FM, stesen ini tampil lebih menyeluruh dengan pendekatan yang meraikan gaya hidup, hiburan dan budaya Malaysia yang moden, tanpa meninggalkan nilai tempatan. Pendengar boleh menjangkakan pengalaman radio yang lebih santai, interaktif dan relevan daripada muzik popular tempatan dan antarabangsa, hinggalah perbualan ringan yang mencerminkan realiti kehidupan rakyat Malaysia masa kini.
Kool FM bukan sahaja boleh didengari di tiga kawasan baharu iaitu Johor Bahru, Ipoh dan Melaka, tetapi turut memperkukuh hubungannya bersama pendengar melalui aktiviti luar dan siaran secara langsung (outside broadcast).
Pendengar berpeluang untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan personaliti radio Kool FM yang akan ke beberapa lokasi terpilih di Johor Bahru, Melaka dan Ipoh.
Bukan sahaja secara digital, pendengar juga boleh mengikuti Kool FM secara langsung melalui frekuensi 101.3FM di Lembah Klang, 90.2FM di Pulau Pinang, 107.3FM di Alor Setar, dan 104.3FM di Kuching, 87.6FM di Ipoh, 88.1FM di Melaka dan Utara Johor dan 105.3 di Johor Bahru.
Secara alternatif, para pendengar juga boleh mendengar Kool FM secara live streaming di www.koolfm.audio dan YouTube Kool FM TV.