Rakyat Malaysia berpusu-pusu mahu bekerja di Singapura kerana gaji lumayan yang dibayar dalam Singapore Dollar.
Sehinggakan ada yang sanggup menetap di Johor semata-mata mahu berulang-alik pada setiap hari agar dapat menikmati gaji dengan lebih berbaloi.
Walaupun di negara Singapura sedia menawarkan sejumlah kerja dengan gaji yang kompetitif buat rakyatnya dan juga orang luar, ia tidaklah menjamin kebahagiaan seseorang apabila tiba satu masa nanti.
Ini yang terjadi kepada seorang lelaki dari Singapura yang mendedahkan hasratnya untuk berpindah ke Malaysia untuk mencari ketenangan dari dunia profesional yang kejam lapor laman Says.
Difahamkan meskipun berjaya meraih pendapatan tahunan mencecah SGD100,000 bersamaan RM300,000 dalam sektor pendidikan, dia mendedahkan sedang mengalami keletihan yang melampau atau burn out ekoran tekanan kerja yang berlarutan.
Perlu diketahui, negara Singapura sangat mempunyai dunia profesional yang mencabar susulan anda dibayar mengikut prestasi dan kemampuan.
Jadi, boleh dibayangkan betapa perlunya anda mempunyai mental dan fizikal yang kuat untuk menyelesaikan segala tugasan yang diberikan atau anda akan ketinggalan di belakang.
Berikut adalah luahan lelaki itu di platform Reddit baru-baru ini.
“Saya berusia 35 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, serta bekerja dalam sektor pendidikan di Singapura dengan pendapatan tahunan sekitar SGD100,000.
“Sejak kebelakangan ini, saya mula berasa letih dan hilang semangat dengan kehidupan di sini, malah sering terfikir untuk meninggalkan Singapura. Namun, memandangkan saya sangat rapat dengan keluarga besar, saya rasa pilihan paling sesuai adalah berpindah ke negara jiran.
“Kuala Lumpur nampak seperti pilihan yang menarik, dengan peluang yang mungkin lebih luas berbanding tempat lain di Malaysia. Cuma, saya tidak pasti di mana dan bagaimana mahu mula mencari pekerjaan korporat di sana.
“Saya juga tidak pasti apa yang saya harapkan sepenuhnya buat masa ini, tetapi hanya mahu berkongsi perasaan. Adakah di sini ada yang pernah meninggalkan “impian Singapura” untuk mengejar sesuatu yang lain di Malaysia? Bagaimana pengalaman anda, dan adakah rasa menyesal?,” luahnya.

Menerusi perkongsian yang sama, dia sedar akan pendapatan yang bakal diraih di Malaysia jauh lebih rendah dan sedia menerima kenyataan pahit itu.