Khairul Aming, pemengaruh media sosial yang terkenal dengan produk Sambal Nyet, baru-baru ini berkongsi tentang kos besar yang diperuntukkan untuk bawa staf kilang Sambal Nyet bercuti setiap tahun.

Dalam satu video pendek yang dimuatnaik oleh Facebook rasmi radio HotFM, beliau menjelaskan bahawa kos tersebut bukan sekadar untuk perbelanjaan perjalanan, tetapi juga melibatkan production loss apabila kilangnya terpaksa ditutup selama lima hari.

Menurut Khairul Aming, terdapat dua kategori kos yang terlibat.

Pertama, kos langsung untuk bawa staf bercuti ini merangkumi penginapan hotel, makan, aktiviti, pengangkutan, serta duit poket.

Kos ini dianggarkan dalam lingkungan RM200,000 hingga RM300,000.

Namun, yang lebih besar ialah kos kerugian produksi, yang berlaku apabila kilangnya ditutup.

Anggaran production loss ini mencecah sekitar RM700,000 hingga RM750,000.

Bila digabungkan, jumlah keseluruhan kos yang terlibat hampir RM1 juta.

Khairul Aming turut menjelaskan bahawa walaupun angka ini mungkin nampak besar, ia adalah pelaburan yang telah dia tetapkan setiap tahun untuk menghargai pekerjanya.

“Saya dah dedicate every year nak celebratekan staf,” katanya sambil menjawab soalan netizen.

Beliau juga berjanji akan meneruskan budaya ini setiap tahun, walaupun kilangnya terpaksa ditutup sementara.

Untuk rekod, setiap tahun netizen akan dihidangkan dengan video percutian Khairul Aming bersama pekerja kilang Sambal Nyet.

Tahun ini Khairul Aming telah membawa stafnya menikmati percutian mewah di Pulau Pinang.

Dia membawa 100 orang stafnya untuk bercuti dengan menginap di hotel yang mengadap laut serta makan makanan mewah.

Di Instagram miliknya, Khairul Aming menulis, “Kita tutup kilang selama 5 hari untuk bawa kesemua 100 staff Khairulaming bercuti di Penang.

“Semua staff dapat hotel 5 star bilik seaview, duit poket untuk shopping, main escape park, parasailing, banana boat, jetski, explore bandar georgetown, makan nasi kandar, grand dinner dan macam-macam lagi.

“Yang penting semua staff dapat berehat and bercuti dengan happy.”

Netizen rata-rata tumpang gembira melihat cara beliau menghargai pekerjanya ditambah pula dengan status beliau yang kini menjadi salah seorang influencer terkaya di Malaysia.