Permainan Upin & Ipin Universe sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 17 Julai dan menjadi fenomena bukan sahaja di Malaysia bahkan di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Pada dasarnya, para peminatnya sangat gembira dengan kehadiran siri animasi popular itu akhirnya memasuki dunia permainan yang mana bakal memberikan pengalaman imersif untuk menerokai Kampung Durian Runtuh dan memainkan karakter kembar ikonik itu.

Kos pembangunan permainan Upin & Ipin Universe ini mencecah RM15 juta, ia boleh dilihat sebagai satu pelaburan yang besar lebih-lebih di dalam pasaran tempatan.

Agak-agak berapa diperlukan?

Jika kita andaikan permainan ini dijual pada harga RM177 per salinan, mari kita lihat berapa ramai pengguna yang diperlukan untuk meraih keuntungan?

Seorang figura yang mahir dalam dunia teknologi sedia berkongsi jumlah pengguna yang diperlukan oleh syarikat Les’ Copaque dalam mendapatkan pulangan modal terlebih dahulu.

Ketahui dulu kos break even

Menurut Encik Rafiq Sharman Khamis di Facebook peribadinya, dia memberi anggaran untuk syarikat animasi tempatan ini mendapatkan tampungan kos atau break even adalah sebanyak 83,000 pengguna.

Angka yang besar ini boleh dikira akan mencabar kerana harga yang ditawarkan sangat kompetitif dengan penawaran permainan di luar sana dari studio yang lebih ternama.

Ditambah pula ini merupakan langkah pertama buat syarikat Les’ Copaque memasuki ke dalam arena permainan, timbul skeptikal akan kualiti permainan yang dihasilkan berbanding dengan permainan gred AAA yang lain seperti Shin Chan of coal town.

upin ipin
Sumber Gambar: YouTube

Walaupun sebahagian netizen percaya ini angka yang mudah untuk dicapai kerana jumlah peminat Upin & Ipin yang besar di Malaysia, Encik Rafiq berpendapat permainan terbabit masih perlu bergantung dengan pasaran lain seperti dari Indonesia kerana jumlah penggunanya yang lebih besar.

Antara cabaran yang ketara dihadapi oleh permainan Upin & Ipin ini juga adalah sasaran demografik permainan ini kerana didapati hanya golongan kanak-kanak sahaja yang boleh menikmatinya sementara yang sudah dewasa mendakwa ia agak membosankan.

Ini belum kira lagi isu bug yang banyak di dalam permainan sekaligus membuatkan sebahagian pembeli kecewa dengan kualiti permainan terbabit.

Sementara kecerdasan buatan pula memberi kesimpulan jika harga permainan Upin & Ipin adalah RM177, dan mengambil kira yuran platform sebanyak 30% serta anggaran kos pemasaran & operasi sebanyak 30% daripada kos pembangunan, permainan ini memerlukan kira-kira 157,386 pengguna untuk mencapai keuntungan bersih.

Angka ini menekankan betapa pentingnya sokongan padu daripada peminat tempatan dan serantau untuk memastikan kejayaan kewangan projek permainan berskala besar seperti ini. Mampukah Upin & Ipin mencapai sasaran ini?